Skip to main content

Malaysia

1MDB: Lapan lagi karya seni bernilai hampir RM120 juta dijangka diperoleh semula - Azam

Foto Shahir
Pada sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, pada Rabu, Azam berkata, kejayaan mendapatkan semula karya seni berkenaan adalah sebahagian daripada pencapaian lebih luas Malaysia dalam usaha memulihkan aset 1MDB yang diseleweng. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

PUTRAJAYA: Sebanyak lapan lagi karya seni bernilai tinggi, dianggarkan sekitar RM120  juta, yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijangka berjaya diperoleh semula. 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, usaha itu direalisasikan menerusi kerjasama erat antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, kejayaan itu dicapai melalui Bantuan Perundangan Bersama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (US DOJ) dalam usaha berterusan memulihkan aset berkaitan 1MDB.

“Jika semuanya berjalan lancar, kita akan memperoleh lukisan-lukisan ini menjelang hujung tahun ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Menurutnya, antara tujuh karya seni bernilai RM7 juta,  yang dikenal pasti termasuk hasil tangan Henri Matisse, Alexander Calder, Pablo Picasso, William H. Bailey, Raoul Dufy, Salvador Dalí dan Gustave Loiseau.

Sementara kata beliau, satu lagi karya sedang diusahakan untuk mendapatkan semula hasil jualan sebuah lukisan karya Claude Monet bertajuk Vétheuil au Soleil, yang dijual di Switzerland pada harga kira-kira 25.2 juta euro (sekitar RM114 juta).

Menurut Azam, dana daripada penjualan itu kini dalam proses penyitaan pihak berkuasa Amerika Syarikat, dengan usaha pemulihan diteruskan melalui saluran perundangan serta kerjasama dengan pihak berkuasa di Amerika Syarikat dan Switzerland.

Beliau berkata, kejayaan mendapatkan semula karya seni berkenaan adalah sebahagian daripada pencapaian lebih luas Malaysia dalam usaha memulihkan aset 1MDB yang diseleweng.

Sebelum ini, empat karya seni bernilai hampir RM800,000 telah berjaya dipulangkan kepada Malaysia hasil operasi pemulihan aset SPRM.

Karya berkenaan ialah Composition (1953) oleh Joan Miró, Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St. Vincent, Montmartre (1934) oleh Maurice Utrillo, Étude pour femme couchée (1948) oleh Balthus serta L’Ecuyère et les clowns (1961) oleh Pablo Picasso.

SPRM memaklumkan, kesemua karya seni itu kini disimpan dengan selamat di ibu pejabatnya di Putrajaya sebagai sebahagian daripada aset yang berjaya dipulihkan berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

"Kesemua karya berkenaan dihantar dari New York pada 8 April 2026 sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 10 April dan kini ditempatkan sementara di Ibu Pejabat SPRM dengan kawalan keselamatan serta suhu mengikut piawaian antarabangsa," ujar beliau.

Katanya, karya berkenaan akan diserahkan kepada Balai Seni Negara dalam masa terdekat untuk tujuan pemeliharaan sebagai aset warisan negara.

"Tapi bagi saya, seeloknya karya ini disimpan di galeri untuk tatapan umum bagi mengingati skandar terbesar negara. Tapi itu pandangan saya, terpulang kepada Kementerian Kewangan untuk menjual atau sebaliknya," jelas beliau. 
 

Must Watch Video