Skip to main content

Dunia

[TERKINI] Konflik Asia Barat: Selat Hormuz kembali tegang, AS serang sasaran di Iran, Tehran dakwa gencatan senjata dilanggar

Sumber: U.S. Central Command Public Affairs
Kapal pemusnah berpandu kelas Arleigh Burke, USS Rafael Peralta dikerahkan ke kawasan operasi Armada Kelima Amerika Syarikat bagi menyokong keselamatan dan kestabilan maritim di Asia Barat. - Gambar fail Tentera Laut AS

TEHRAN: Iran menuduh Amerika Syarikat (AS) melanggar perjanjian gencatan senjata susulan beberapa siri serangan yang didakwa menyasarkan kepentingan negara itu di Selat Hormuz dan kawasan selatan Iran.

Menurut penyiar rasmi Iran, IRIB, jurucakap Ibu Pejabat Pusat Khatam al‑Anbiya mendakwa, AS telah menyasarkan sebuah kapal tangki minyak Iran yang bergerak dari perairan pantai berhampiran Jask ke arah Selat Hormuz, selain sebuah lagi kapal yang memasuki selat itu berdekatan pelabuhan Fujairah, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dakwaan itu dikemukakan walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, sebagaimana dimaklumkan menerusi kenyataan yang disiarkan media rasmi negara tersebut.

Dalam kenyataan sama, Iran turut mendakwa AS melancarkan serangan udara ke atas kawasan awam dengan kerjasama beberapa negara serantau, termasuk di sepanjang pesisir Bandar Khamir, Sirik dan Pulau Qeshm.

Iran berkata, tenteranya bertindak segera sebagai tindak balas dengan menyasarkan kapal tentera AS di timur Selat Hormuz serta di selatan pelabuhan Chabahar, yang didakwa menyebabkan kerosakan ketara terhadap aset ketenteraan Amerika.

Jurucakap berkenaan memberi amaran bahawa Iran akan melancarkan “tindakan balas yang menghancurkan terhadap sebarang bentuk pencerobohan, tanpa sebarang keraguan atau kelewatan” terhadap AS dan sekutunya.

Sementara itu, media rasmi Iran pada Khamis melaporkan, angkatan bersenjata negara itu berbalas tembakan dengan “pihak musuh” di Pulau Qeshm, yang terletak di Selat Hormuz.

Agensi berita Fars melaporkan, beberapa bunyi yang menyerupai letupan kedengaran berhampiran bandar Bandar Abbas di selatan Iran.

Bagaimanapun, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyifatkan insiden berkenaan sebagai sekadar “love tap”, sambil menegaskan bahawa gencatan senjata masih berkuat kuasa dan tidak ditamatkan.

Tentera AS dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah memintas serangan Iran ke atas tiga kapal Tentera Laut AS di Selat Hormuz, sebelum bertindak menyasarkan kemudahan ketenteraan Iran yang didakwa bertanggungjawab melancarkan serangan berkenaan.

Menurut Komando Pusat AS (CENTCOM), insiden itu berlaku ketika kapal pemusnah Tentera Laut AS melalui Selat Hormuz apabila pasukan AS memintas serangan peluru berpandu yang disifatkan sebagai “tanpa provokasi” dari Iran dan bertindak balas atas alasan pertahanan diri.

Seorang wartawan Fox News dalam hantaran di platform X, memetik pegawai kanan AS mendakwa, tentera AS telah melancarkan serangan ke atas pelabuhan Qeshm serta bandar Bandar Abbas, namun menegaskan serangan tersebut tidak menandakan perang disambung semula dan tidak menamatkan gencatan senjata yang diumumkan pada 7 April lalu.

Awal Jumaat, Iran sekali lagi menuduh AS melanggar gencatan senjata, dengan mendakwa Washington turut menyasarkan kawasan awam serta dua kapal di Selat Hormuz.

Media negara Iran turut melaporkan bahawa unit tentera laut AS di Selat Hormuz berdepan serangan peluru berpandu Iran susulan dakwaan serangan AS terhadap sebuah kapal tangki minyak Iran.

Pulau Qeshm, yang merupakan pulau terbesar Iran di Teluk Arab, didiami kira-kira 150,000 penduduk dan menempatkan loji penyahgaraman air laut yang menjadi sumber penting bekalan air kepada penduduk setempat. - Agensi

Must Watch Video