SEPANG: Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan semua 10 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang dalam misi kemanusiaan ke Gaza dipintas tentera Israel.
Dalam kenyataan ringkas, SNCC memaklumkan, kapal terakhir Alcyone yang membawa dua rakyat Malaysia iaitu Hareez Adzrami dan Chin, dipintas sekitar jam 8.25 malam waktu tempatan, pada Selasa.
Manakala pada jam 7.44 malam, kapal Zefiro yang membawa seorang warganegara Malaysia, Noor Thanisah, turut dipintas.
Sebelum itu, kapal Don Juan yang membawa rakyat Malaysia, Syed Amirul, ditahan oleh rejim Zionis pada hari sama.
SNCC dalam satu sidang media pada petang Selasa memaklumkan empat rakyat Malaysia berkenaan dijangka tiba di Gaza dalam masa sembilan jam berdasarkan kelajuan pelayaran dan keberadaan lokasi semasa.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby menyifatkan ia sebagai pecutan terakhir menuju destinasi, delegasi Malaysia tidak berpatah hati, tidak melarikan diri dan terus ke hadapan walaupun berdepan risiko diculik.
Jumlah rakyat Malaysia yang kini berada di bawah tahanan negara haram Israel adalah seramai 29 individu.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia sudah membuat bantahan berhubung tindakan rejim Zionis memintas misi kemanusiaan GSF 2.0 ke Gaza dan menahan lebih 100 aktivis termasuk rakyat Malaysia.
Tegas Anwar, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel itu serta menuntut jaminan keselamatan dan pembebasan segera kesemua aktivis.
Perdana Menteri juga menegaskan dunia tidak boleh terus tunduk kepada kezaliman dan kebobrokan yang dilakukan oleh rejim Zionis.