Skip to main content

Malaysia

13 pelancong terkandas tengah laut bot rosak

​KUALA TERENGGANU - Tindakan pantas bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan 13 pelancong selepas bot penumpang yang dinaiki mereka terumbang-ambing akibat kerosakan enjin di perairan Kuala Besut, petang Ahad.
Anggota Maritim Malaysia menyelamatkan 13 pelancong selepas bot penumpang yang dinaiki mereka rosak di perairan Kuala Besut pada Ahad. - Foto Sinar Harian

KUALA TERENGGANU: Tindakan pantas bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan 13 pelancong selepas bot penumpang yang dinaiki mereka terumbang-ambing akibat kerosakan enjin di perairan Kuala Besut, petang Ahad.

​Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika bot PERKASA 48 sedang melaksanakan rondaan rutin di kawasan berkenaan.

​Menurutnya, anggota bertugas terserempak dengan sebuah bot penumpang dalam keadaan mencurigakan sebelum melihat penumpang melambai-lambai tangan meminta bantuan.

​"Ketua Bot PERKASA 48 bertindak menghampiri bot tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati bot penumpang mengalami kerosakan enjin.

​"Keadaan itu menyebabkan bot berkenaan hanyut dan terumbang-ambing di tengah laut pada kedudukan kira-kira 7.3 batu nautika Timur Laut Muara Kuala Besut," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

​Hamiludin menjelaskan, kesemua 13 penumpang membabitkan pelancong tempatan dan warga asing berjaya dipindahkan ke bot PERKASA 48 sebagai langkah keselamatan.

​"Mangsa terdiri daripada seorang warga tempatan, manakala warga asing pula melibatkan empat dari China, United Kingdom (dua), Perancis (tiga), Singapura (dua) dan seorang warga Bangladesh.

​"Kesemua mereka dibawa dengan selamat ke Jeti Jabatan Laut Besut tanpa mengalami sebarang kecederaan," katanya.

​Susulan kejadian itu, Maritim Malaysia menasihatkan pengusaha bot penumpang agar sentiasa memastikan tahap keselamatan dan keadaan enjin berada pada tahap terbaik sebelum memulakan pelayaran.

​Orang ramai boleh melaporkan sebarang kecemasan di laut kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-7464357 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera. - Sinar Harian

Must Watch Video