KIEV: Ukraine mencadangkan gencatan senjata bersama berhubung serangan ke atas sasaran tenaga, kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Jika Rusia bersedia menghentikan serangan ke atas infrastruktur tenaga kami, kami juga bersedia mengambil langkah yang sama,” kata beliau.
Presiden itu berkata cadangan telah disampaikan kepada Rusia melalui Amerika Syarikat (AS).
Serangan Rusia yang menyasarkan infrastruktur tenaga Ukraine menyebabkan jutaan penduduk terjejas akibat gangguan bekalan elektrik yang berpanjangan.
Dalam pada itu, Ukraine turut menyasarkan industri minyak Rusia dengan harapan dapat melemahkan industri pertahanan Moscow, yang sebahagian besarnya dibiayai menerusi hasil tenaga.
-- BERNAMA-dpa