Skip to main content

Dunia

AS tutup Konsulat Jeneral di Peshawar, Pakistan

U.S. Consulate General Peshawar
Keputusan penutupan itu diambil atas faktor keselamatan diplomat AS dan keperluan pengurusan sumber yang lebih cekap. - Facebook U.S. Consulate General Peshawar

WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mengumumkan penutupan secara berperingkat Konsulat Jeneralnya di bandar Peshawar di barat laut Pakistan atas faktor keselamatan diplomat AS dan keperluan pengurusan sumber yang lebih cekap, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Keputusan ini mencerminkan komitmen kami terhadap keselamatan kakitangan diplomatik serta pengurusan sumber yang cekap,” menurut Jabatan Negara dalam satu kenyataan.

Jabatan itu turut memaklumkan bahawa Kedutaan AS di Islamabad akan mengambil alih urusan berkaitan wilayah Khyber Pakhtunkhwa di Pakistan.

“Walaupun kehadiran fizikal kami di Peshawar berubah, keutamaan dasar pentadbiran ini di Pakistan kekal teguh,” menurut jabatan itu.

Selepas penutupan konsulat di Peshawar, AS akan mengekalkan tiga misi diplomatik di negara itu iaitu kedutaan di Islamabad serta konsulat di Karachi dan Lahore.

Pada Mac, Associated Press, yang memetik pemberitahuan Jabatan Negara kepada Kongres, melaporkan bahawa penutupan konsulat di Peshawar dijangka menjimatkan Washington sebanyak AS$7.5 juta setiap tahun.

Bagaimanapun, proses penutupan itu sendiri dijangka menelan kos sebanyak AS$3 juta.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

Must Watch Video