TEHRAN: Satu kemungkinan tumpahan minyak di perairan berhampiran Pulau Kharg, hab eksport utama minyak Iran di Teluk, mencetuskan kebimbangan risiko bencana alam sekitar berskala besar, menurut pakar.
Imej satelit yang dikeluarkan minggu lalu menunjukkan tompokan minyak yang luas dilaporkan tersebar ke arah barat pulau itu, meliputi puluhan kilometer persegi di laut.
Bagaimanapun, Syarikat Terminal Minyak Iran menafikan berlaku kebocoran minyak seperti dilaporkan, manakala punca sebenar serta lokasi asal tumpahan masih belum dikenal pasti.
Profesor Chuk Okereke dari University of Bristol memberi amaran bahawa sebarang insiden di kawasan strategik seperti Pulau Kharg boleh memberi kesan besar.
“Jika benar berlaku, ia boleh mencetuskan bencana alam sekitar, ekologi malah geopolitik secara serta-merta,” katanya dalam wawancara bersama Al Jazeera.
Pulau Kharg merupakan pusat utama eksport minyak Iran, menjadikannya sangat kritikal kepada ekonomi negara itu serta bekalan tenaga global.
Sebarang gangguan di kawasan tersebut bukan sahaja menjejaskan alam sekitar laut, tetapi juga berpotensi memberi kesan kepada pasaran minyak antarabangsa.
Insiden itu berlaku ketika ketegangan geopolitik di rantau berkenaan masih memuncak, sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa krisis alam sekitar boleh bertukar menjadi isu keselamatan dan ekonomi yang lebih luas.