WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pelaksanaan gencatan senjata selama tiga hari antara Ukraine dan Rusia bermula hari ini (9 Mei) dengan harapan ia dapat membuka jalan ke arah perjanjian jangka panjang bagi menamatkan perang berlarutan di Ukraine.
“Diharapkan ini menjadi permulaan kepada pengakhiran satu perang yang sangat panjang, berdarah dan sengit,” kata Trump.
Sebelum itu, Rusia mengumumkan gencatan senjata unilateral selama dua hari sempena sambutan Hari Kemenangan Perang Dunia Kedua pada 9 Mei.
Ukraine pula memaklumkan ia telah mengemukakan cadangan gencatan senjata sebelum ini, namun dakwaan tersebut dikatakan tidak diendahkan Moscow.
Trump berkata, gencatan senjata itu turut merangkumi pertukaran 1,000 tahanan dari setiap pihak.
Presiden AS itu sebelum ini berdepan kesukaran menamatkan konflik yang mencecah tahun keempat, walaupun pernah berjanji untuk menyelesaikannya sehari selepas memegang jawatan tahun lalu.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan akan berlaku GENCATAN SENJATA SELAMA TIGA HARI (9, 10 dan 11 Mei) dalam perang antara Rusia dan Ukraine,” katanya menerusi platform Truth Social.
Trump turut memaklumkan, permintaan tersebut dibuat secara langsung olehnya dan menghargai persetujuan Presiden Rusia, Vladimir Putin serta Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy.
“Diharapkan ini menjadi permulaan kepada penamat sebuah perang yang begitu panjang, membawa maut dan sengit,” tambahnya.
Pertempuran masih berterusan
Bagaimanapun, Rusia dan Ukraine dilaporkan saling melancarkan serangan pada Jumaat, sebelum pengumuman Trump dibuat.
Ukraine sebelum ini tidak pernah menyatakan persetujuan untuk mematuhi seruan Moscow menghentikan serangan secara sementara, sambil menuduh Putin hanya mahu menghentikan pertempuran bagi membolehkan perarakan ketenteraan tahunan di Dataran Merah diadakan pada Sabtu.
Kyiv berkata, Moscow mengabaikan cadangan Ukraine untuk menghentikan pertempuran lebih awal minggu ini, yang dikemukakan sebagai satu ujian sama ada Kremlin benar-benar serius memberikan kelegaan sementara dalam konflik berusia empat tahun itu.
Rusia turut mengancam untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas Kyiv sekiranya Ukraine cuba menggagalkan perarakan Hari Kemenangan, dan berulang kali menggesa diplomat asing meninggalkan ibu negara Ukraine lebih awal.
Di Kyiv, sebahagian penduduk dilaporkan memandang ringan ancaman tersebut.
“Tiada apa yang baharu akan berlaku,” kata seorang kakitangan bank, Vasyl Kobzar, 40, kepada AFP.
“Saya bimbang, tetapi malangnya ia sudah menjadi rutin.”
Pegawai Ukraine memberitahu AFP setakat ini tiada arahan untuk meningkatkan langkah keselamatan tambahan.
Seorang penggubal undang-undang Ukraine yang enggan dikenali pula berkata: “Kami hanya menunjukkan isyarat menentang (Rusia).”
Tentera Udara Ukraine memaklumkan, Rusia melancarkan 67 dron dalam serangan semalaman, jumlah terendah dalam hampir sebulan.
“Walaupun gencatan senjata diisytiharkan, musuh tidak mengurangkan intensiti operasi serangan,” kata Zelenskyy sambil menegaskan Ukraine memberi tindak balas setimpal.
Rusia pula mendakwa berjaya menembak jatuh lebih 400 dron Ukraine sejak tengah malam, termasuk 100 yang menyasarkan Moscow, dan menyatakan tenteranya “memberi respons secara simetri.”
Pentadbiran yang disokong Moscow di wilayah Kherson yang diduduki Rusia melaporkan, satu serangan dron Ukraine mengorbankan seorang lelaki berusia 41 tahun dan anak perempuannya berusia 15 tahun.
Dalam pada itu, Zelenskyy memuji serangan Ukraine ke atas sebuah depot minyak di wilayah Yaroslavl, kira-kira 200 kilometer di timur laut Moscow.
Kementerian Pengangkutan Rusia memaklumkan, 13 lapangan terbang di selatan negara itu ditutup sementara pada Jumaat selepas sebuah dron Ukraine terkena pusat navigasi udara di bandar Rostov-on-Don, sebelum penerbangan dipulihkan sebahagiannya.
Putin kemudiannya memanggil mesyuarat Majlis Keselamatan Rusia berhubung serangan itu, menyifatkannya sebagai “tindakan bersifat keganasan” yang berpotensi membahayakan penerbangan awam.
Tiada kereta kebal
Ukraine sebelum ini menolak gencatan senjata sementara Rusia sebagai helah propaganda semata-mata untuk melindungi perarakan Hari Kemenangan pada 9 Mei, antara acara patriotik paling penting bagi Putin.
Beberapa jam sebelum gencatan senjata Rusia bermula, Zelenskyy turut memberi amaran kepada sekutu Moscow supaya tidak menghadiri perarakan berkenaan.
Sejak Rusia melancarkan pencerobohan pada Februari 2022, ratusan ribu anggota tentera dari kedua-dua pihak serta puluhan ribu orang awam, kebanyakannya di Ukraine, telah terkorban.
Putin menjadikan memori kemenangan Kesatuan Soviet ke atas Nazi Jerman sebagai naratif utama pemerintahannya selama 25 tahun, termasuk menganjurkan perarakan besar-besaran setiap 9 Mei di tengah Moscow dan menggunakannya bagi mempertahankan pencerobohan ke atas Ukraine.
Namun, buat pertama kali dalam hampir dua dekad, perarakan tahun ini tidak akan mempamerkan aset ketenteraan berat dan hanya dihadiri segelintir tetamu asing.
Usaha rundingan untuk menamatkan konflik terburuk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua itu masih menunjukkan kemajuan terhad, selain dibayangi konflik lain termasuk di Iran. - Agensi