KUANTAN: Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Jalan Besar Jengka 12, Maran semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, kemalangan kira-kira 10 malam itu mengakibatkan pengawal keselamatan, Mohamad Ali Mohamed Saat, 31, dan pemandu jentera berat, Mohamad Arif Danial Ramli, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu Mohamad Arif Danial dalam perjalanan menghala ke arah pusat bandar Jengka.
“Semasa di tempat kejadian pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai atau saksi yang melihat kemalangan itu diminta tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Norhafizul Abd Halim melalui talian 010-5752075.
-- BERNAMA