KEPALA BATAS: Perpaduan dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan perlu terus dipertahankan bagi menjamin kestabilan politik dan kesinambungan pentadbiran negara.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pengalaman kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) wajar dijadikan pengajaran khususnya dalam mengelakan perpecahan dalaman yang boleh menggugat mandat rakyat.
“Yang penting ialah perpaduan kita bina ini perlu dikekalkan. Kalau kerajaan gagal, bukan datang daripada serangan luar, tetapi daripada dalaman kita sendiri,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Isu-isu Semasa di sini malam tadi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata semua pihak dalam kerajaan perlu memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyelesaikan sebarang perbezaan melalui saluran dalaman, bukannya dibahaskan secara terbuka.
“Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kalau ada yang bercita-cita hendak jadi Perdana Menteri, ikut proses parti dan pilihan raya, bukan dengan cara ‘tebuk atap’,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) kerana formula berkenaan terbukti mampu mewujudkan kestabilan politik negara, sekali gus memperkukuh peluang kemenangan pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata walaupun kedua-dua gabungan itu pernah menjadi seteru politik, banyak isu kini dapat diselesaikan menerusi meja rundingan tanpa mencetuskan polemik terbuka.
-- BERNAMA