NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menangguhkan pelaksanaan Akta Jones selama 60 hari pada Rabu dalam usaha mengekang kenaikan harga minyak yang berpunca daripada penutupan Selat Hormuz di luar pantai Iran, lapor Xinhua.
Akta Jones menetapkan bahawa semua barangan yang diangkut antara pelabuhan AS mestilah dibawa secara eksklusif oleh kapal buatan Amerika.
"Keputusan Presiden Trump untuk mengeluarkan pengecualian Akta Jones selama 60 hari merupakan satu lagi langkah bagi mengurangkan gangguan jangka pendek terhadap pasaran minyak ketika tentera AS terus memenuhi objektif 'Operasi Epic Fury'," kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt dalam satu kenyataan.
"Tindakan ini akan membolehkan sumber penting seperti minyak, gas asli, baja, dan arang batu mengalir bebas ke pelabuhan AS selama 60 hari, dan pentadbiran ini kekal komited untuk terus memperkukuh rantaian bekalan kritikal kami," katanya.
Sebagai sebahagian daripada usaha mengekang lonjakan harga minyak, Amerika Syarikat turut mengumumkan akan melepaskan 172 juta tong minyak daripada Rizab Petroleum Strategiknya.
Memandangkan harga tenaga terus meningkat di tengah-tengah gangguan yang dikaitkan dengan konflik Iran, media tempatan turut menyifatkan langkah itu sebagai usaha mengurangkan kos penghantaran domestik, menyokong logistik ketenteraan, serta memastikan bekalan bahan api yang konsisten ke pangkalan dan operasi AS.
-- BERNAMA-XINHUA