WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa (12 Mei) memuat naik satu grafik peta Venezuela di platform Truth Social miliknya yang memaparkan bendera Amerika Syarikat serta label “Negeri ke-51.”
Perkongsian yang bersifat provokatif itu dimuat naik ketika Trump dalam perjalanan ke China bagi menghadiri satu sidang kemuncak berprofil tinggi, sehari selepas Presiden Interim Venezuela, Delcy Rodriguez menegaskan, negaranya “tidak pernah” mempertimbangkan untuk menjadi negeri ke-51 AS, walaupun selepas tentera Amerika menahan bekas pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro, pada Januari lalu.
Terdahulu pada Isnin, Trump turut memberitahu Fox News bahawa beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan menjadikan negara di Amerika Selatan itu sebagai negeri baharu AS, selepas berbulan-bulan berbangga mendakwa dirinya menguasai negara kaya petroleum berkenaan.
Rodriguez pula sejak mengambil alih kepimpinan Venezuela telah menyelia usaha memperbaiki hubungan dengan Washington, termasuk melaksanakan pembaharuan yang membuka semula sektor perlombongan dan minyak negara itu kepada syarikat asing, khususnya dari Amerika Syarikat.
Dalam perkembangan berkaitan, pembangkang Venezuela terus mendesak supaya pilihan raya diadakan, manakala Rodriguez ketika ditanya pada 1 Mei mengenai kemungkinan satu pilihan raya baharu, berkata, beliau “tidak tahu” dan hanya menyatakan ia akan berlaku “pada suatu masa nanti.” - Agensi