WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan harapan agar Hezbollah bertindak secara bertanggungjawab susulan pengumuman gencatan senjata antara Israel dan Lubnan.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social, beberapa jam selepas gencatan senjata diumumkan, Trump menujukan mesejnya kepada kumpulan bersenjata Lubnan itu.
“Saya harap Hezbollah bertindak dengan baik dan elok dalam tempoh penting ini. Ini akan menjadi detik HEBAT untuk mereka jika berbuat demikian,” tulisnya.
“Tiada lagi pembunuhan. Akhirnya mesti ada KEAMANAN!”
Dalam perkembangan berkaitan, Trump sekali lagi menyelar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kerana tidak menyertai serangan AS–Israel ke atas Iran.
Bercakap kepada wartawan di White House, Trump berkata AS membelanjakan “trilion demi trilion dolar” untuk NATO, namun sekutu itu gagal memberi sokongan apabila diminta.
“Kami membantu Ukraine. Apabila mereka menghadapi masalah selama ini, kami ada bersama mereka,” katanya.
“Tetapi apabila kami berdepan situasi yang lebih kecil, mereka tidak ada untuk kami. Tiada seorang pun.”
Trump menambah beliau meragui kemampuan NATO untuk menyokong AS sekiranya berlaku krisis yang lebih besar, sambil menyifatkan keadaan itu sebagai satu masalah besar bagi pakatan berkenaan.
Kenyataan Trump itu mencerminkan ketegangan berterusan antara Washington dan sekutu Eropahnya, walaupun gencatan senjata Israel–Lubnan disambut sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan serantau.