Skip to main content

Dunia

Trump akan lawat China, kali pertama dalam hampir sembilan tahun

71767087836_DONALDTRUMP.jpg
Lawatan terbaharu Trump dibuat pada saat kritikal ketika ketegangan di Asia Barat masih memuncak susulan konflik yang tercetus akibat serangan AS dan Israel terhadap Iran serta serangan balas Tehran.

BEIJING: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan melawat China dari 13 hingga 15 Mei ini atas jemputan Presiden China Xi Jinping, menurut pengumuman Kementerian Luar China pada awal Isnin, lapor Anadolu Ajansi.

Kementerian itu memuat naik kenyataan berkenaan di platform X, sekali gus mengesahkan rancangan yang diumumkan sebelum ini oleh pihak AS.

Lawatan itu menandakan kunjungan pertama Trump ke China dalam tempoh hampir sembilan tahun.

Bekas Presiden AS Joe Biden tidak melawat China sepanjang tempoh pentadbirannya, manakala lawatan terakhir di peringkat pemimpin dari AS ke China berlangsung pada November 2017 apabila Trump melakukan lawatan negara semasa penggal pertamanya sebagai presiden.

Lawatan terbaharu Trump dibuat pada saat kritikal ketika ketegangan di Asia Barat masih memuncak susulan konflik yang tercetus akibat serangan AS dan Israel terhadap Iran serta serangan balas Tehran.

Kunjungan itu sebelum ini dijadual berlangsung dari 31 Mac hingga 2 April namun ditangguhkan kerana Trump perlu memberi tumpuan kepada perang yang melibatkan Iran, menurut laporan terdahulu.

Konflik di Asia Barat dijangka menjadi antara topik utama dalam rundingan itu.

Hubungan antara Washington dan Beijing semakin tegang sepanjang penggal kedua Trump susulan pertikaian berkaitan kenaikan tarif AS dan sekatan teknologi selain langkah China memperketat kawalan terhadap unsur nadir bumi, sektor yang didominasi negara itu dalam bekalan global.

Selain isu ekonomi dan perdagangan, kedua-dua pihak turut dijangka membincangkan mengenai Taiwan, yang didakwa China sebagai wilayahnya, susulan kelulusan AS baru-baru ini terhadap penjualan senjata berskala besar kepada pulau itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video