LUXEMBOURG: Sepanyol, Slovenia dan Ireland mendesak Kesatuan Eropah (EU) meletakkan agenda menghentikan perjanjian dengan Israel dalam agenda perbahasan hari ini.
Dalam kenyataan bersama, negara tersebut berpendapat, blok EU tidak boleh meminggirkan diri susulan keganasan rejim Zionis di Gaza, Tebing Barat dan Lubnan kian memuncak.
Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares berkata perbahasan tersebut mengenai penggantungan Perjanjian Persatuan antara Kesatuan Eropah dan Israel, berdasarkan Artikel 2.
“Artikel tersebut menyatakan bahawa EU hanya boleh menjalinkan hubungan dengan Israel atas dasar menghormati hak asasi manusia,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri mesyuarat menteri luar EU di sini hari ini.
Jose turut berharap setiap negara Eropah untuk menjunjung prinsip Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai undang-undang antarabangsa terhadap hak asasi manusia.
Pada 20 Mei 2025, Wakil Tertinggi EU, merangkap Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Kaja Kallas telah mengumumkan semakan terhadap Artikel 2 dalam Perjanjian Persatuan EU–Israel.
Semakan itu bertujuan menilai tahap pematuhan Israel terhadap prinsip hak asasi manusia dan demokrasi, iaitu elemen teras dalam perjanjian yang telah berkuat kuasa lebih dua dekad tersebut.
Menurutnya, pelanggaran klausa tersebut oleh mana-mana pihak membolehkan pihak satu lagi mengambil langkah bersesuaian, termasuk akhirnya menggantung perjanjian.
Sejak tahun 2000, EU telah menggunakan klausa hak asasi manusia sebanyak 17 kali di bawah Perjanjian Cotonou dengan negara-negara Afrika, Caribbean dan Pasifik, namun klausa tersebut belum pernah dilaksanakan terhadap Israel.
Pada 2024, Israel merupakan rakan dagang ke-31 terbesar Kesatuan Eropah (EU), menyumbang hampir 0.8 peratus daripada keseluruhan perdagangan barangan EU dengan dunia.
Jumlah perdagangan barangan antara kedua-dua pihak pula mencecah €42.6 bilion, dengan EU mengeksport €26.7 bilion ke Israel dan mengimport €15.9 bilion, bersamaan kira-kira sekitar RM215 bilion secara keseluruhan.