BEIRUT: Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa serangan udara Israel yang semakin hebat di seluruh Lubnan kini memberi kesan yang disifatkan sebagai malapetaka dan tidak berperikemanusiaan terhadap golongan kanak-kanak.
Amaran itu dikeluarkan susulan siri pengeboman pada Selasa yang dilaporkan mengorbankan 33 kanak-kanak, manakala 153 yang lain cedera dalam tempoh hanya beberapa minit.
Dalam satu kenyataan, UNICEF memaklumkan pertumpahan darah terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kanak-kanak yang maut atau cedera di Lubnan mencecah kira-kira 600 orang sejak 2 Mac lalu.
“Undang-undang kemanusiaan antarabangsa adalah jelas: orang awam, termasuk kanak-kanak, mesti dilindungi pada setiap masa,” tegas agensi berkenaan.
Menurut UNICEF, lebih satu juta penduduk dilaporkan hilang tempat tinggal di seluruh negara, termasuk anggaran 390,000 kanak-kanak yang kebanyakannya terpaksa berpindah berulang kali bagi mencari perlindungan.
Agensi itu turut menerima laporan mengenai kanak-kanak yang ditarik keluar dari bawah runtuhan bangunan, selain ada yang dilaporkan hilang atau terpisah daripada keluarga masing-masing.
Kanak-kanak yang terselamat pula berdepan trauma yang mendalam selepas kehilangan orang tersayang, selain kediaman mereka musnah akibat serangan berterusan.
Situasi kemanusiaan di Lubnan dilaporkan semakin meruncing susulan serangan udara yang terus menyasarkan kawasan penempatan padat penduduk di negara itu.