BANGKOK: Kerajaan Thailand memantau teliti situasi melioidosis susulan peningkatan trend jangkitan.
Sejumlah 732 kes telah direkodkan di seluruh negara dari 1 Jan hingga 16 April, dengan 23 kematian, kata seorang pegawai pada Sabtu, lapor Xinhua.
Timbalan Jurucakap Kerajaan Lalida Periswiwatana berkata penyakit itu disebabkan oleh bakteria yang terdapat dalam tanah dan air, yang boleh memasuki badan melalui luka, penyedutan zarah debu atau pengambilan air yang tercemar.
Simptom boleh menjadi akut dan kronik, dari demam tinggi, kesukaran bernafas dan tekanan dada selain bengkak, luka merah atau bisul, katanya, sambil menambah bahawa jika bakteria memasuki aliran darah, ia boleh membawa kepada jangkitan teruk dan juga kematian.
Kumpulan berisiko termasuk petani, pekerja pertanian dan orang yang kerjanya melibatkan sentuhan dengan tanah dan air, serta pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, penyakit buah pinggang dan talasemia, serta individu yang mempunyai sistem imun yang lemah, yang menghadapi risiko simptom teruk yang lebih tinggi, katanya.
Jurucakap itu berkata kerajaan sedang mendapatkan kerjasama orang ramai, terutamanya kumpulan berisiko tinggi, untuk mengelakkan sentuhan langsung dengan tanah dan air, menyatakan sesiapa yang mengalami demam panas yang berlarutan lebih dua hari, sesak nafas atau luka yang dijangkiti, perlu segera mendapatkan rawatan perubatan.
-- BERNAMA-XINHUA