Skip to main content

Dunia

[TERKINI] Israel lancar serangan awal terhadap Iran

Smoke rises following an explosion, after Israel's Defence Minister Israel Katz said Israel had launched a pre-emptive attack against Iran, in Tehran, Iran February 28, 2026 in this screen grab taken from video. WANA _REUTERS
Letupan dilaporkan berlaku di Tehran pada Sabtu, dengan beberapa kawasan disahkan terjejas. - Gambar/ Reuters

ISRAEL mengumumkan telah melancarkan satu serangan prapertahanan terhadap Iran pada Sabtu, sekali gus mencetuskan satu lagi episod ketegangan ketenteraan di Asia Barat, lapor Reuters.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mendakwa, tindakan itu diambil bagi “menghapuskan ancaman terhadap Israel”, susulan kebimbangan berterusan terhadap program nuklear serta pembangunan peluru berpandu Iran yang didakwa mampu menggugat keselamatan serantau.

Letupan dilaporkan kedengaran di Tehran pada Sabtu, menurut media Iran, yang turut memaklumkan bahawa beberapa kawasan di ibu negara terjejas dalam insiden tersebut. Namun, tiada penjelasan lanjut diberikan oleh pihak berkuasa Iran.

Serangan ini berlaku selepas Israel dan Iran terlibat dalam perang udara selama 12 hari pada Jun lalu. Israel ketika itu memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan akan diteruskan sekiranya Iran bertegas dengan agenda nuklear dan peluru berpandunya.

Amerika Syarikat dan Iran sebelum ini telah kembali ke meja rundingan pada Februari dalam usaha mencari penyelesaian diplomatik terhadap pertikaian nuklear yang berlarutan sejak beberapa dekad, namun Israel tetap menegaskan sebarang perjanjian baharu mesti melibatkan pembongkaran infrastruktur nuklear Iran.

Iran pula menyatakan kesediaan untuk membincangkan langkah mengehadkan program nuklearnya sebagai pertukaran kepada pemansuhan sekatan antarabangsa, tetapi menolak sebarang syarat yang mengaitkan isu nuklear dengan program peluru berpandu negara itu.

Tehran juga memberi amaran bahawa ia akan mempertahankan diri daripada sebarang serangan dan tidak teragak‑agak bertindak balas terhadap negara‑negara jirannya yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat, sekiranya Washington terlibat dalam serangan terhadap Iran.

Dalam insiden berkaitan pada Jun lalu, AS menyertai kempen ketenteraan Israel menyasarkan kemudahan nuklear Iran dalam tindakan yang disifatkan sebagai penglibatan langsung paling signifikan Amerika terhadap republik tersebut.

Iran kemudian membalas dengan melancarkan peluru berpandu ke pangkalan udara Al Udeid di Qatar.

Kuasa‑kuasa Barat sebelum ini menzahirkan kebimbangan bahawa program peluru berpandu Iran berpotensi menggugat kestabilan serantau dan mampu digunakan sebagai platform penghantaran senjata nuklear, dakwaan yang dinafikan oleh Tehran.

Situasi terbaharu ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan terhadap risiko eskalasi konflik yang boleh meluas ke seluruh rantau, tatkala usaha diplomatik untuk menyelesaikan isu nuklear Iran masih belum menunjukkan perkembangan positif. 

Must Watch Video