ANTANANARIVO: Sekurang-kurangnya 59 orang disahkan terkorban selepas Taufan Gezani membadai Madagascar minggu lalu, sekali gus mencetuskan krisis kemanusiaan di negara kepulauan berkenaan.
Pejabat Pengurusan Risiko dan Bencana Nasional (BNGRC) dalam satu kenyataan berkata situasi berkenaan memaksa pemindahan 16,428 penduduk ke pusat perlindungan sementara, manakala 15 individu dilaporkan masih hilang.
Secara keseluruhan, bencana itu menjejaskan lebih 423,986 penduduk.
Menurut laporan Reuters, Taufan Gezani yang membawa angin kencang berkelajuan 185 kilometer sejam (km/j) melanda hanya 10 hari selepas Taufan Fytia, yang sebelum ini turut meragut 14 nyawa.
Bandar pelabuhan utama, Toamasina, antara kawasan paling terjejas teruk dengan kerosakan besar pada infrastruktur kediaman, bekalan elektrik serta sistem perpaipan air bersih.
"Tahap kemusnahan adalah amat membimbangkan. Fokus utama kini adalah mencegah penularan penyakit bawaan air susulan banjir besar dan kerosakan sistem sanitasi," menurut kenyataan agensi bantuan antarabangsa di lokasi kejadian.
Pemerhati cuaca memberi amaran bahawa Gezani berpotensi melanda Madagascar buat kali kedua berikutan perubahan laluan ribut di Selat Mozambique yang kini turut menjejaskan kawasan pesisir Mozambique dengan ombak setinggi 10 meter.
Susulan kerosakan akses perhubungan dan jalan raya, kerajaan Madagascar kini menggesa bantuan antarabangsa bagi menyokong operasi menyelamat dan pemulihan di kawasan yang terputus hubungan.