ISTANBUL: Arab Saudi, Kuwait dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Isnin mengecam keputusan Israel mendaftarkan kawasan luas di Tebing Barat yang diduduki sebagai “harta negara,” dalam langkah yang dilihat sebagai “pengilhan de facto” terhadap wilayah yang diduduki itu, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam kenyataannya, Kementerian Luar Saudi menyatakan tindakan Israel bertujuan mewujudkan “realiti undang-undang dan pentadbiran baharu” di Tebing Barat yang diduduki, sambil memberi amaran bahawa langkah itu akan “menjejaskan usaha berterusan untuk mencapai keamanan dan kestabilan di rantau ini.”
“Tiada kedaulatan Israel ke atas wilayah Palestin yang diduduki,” menurut kementerian itu, menyifatkan tindakan berkenaan sebagai “pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa” yang menjejaskan penyelesaian dua negara.
Kementerian Luar Kuwait mengecam keputusan Israel itu sebagai “tidak sah dan batal,” serta menyeru masyarakat antarabangsa untuk “menyekat pelanggaran Israel tersebut.”
“Pemberian kuasa kedaulatan kepada pihak selain Palestin di Tebing Barat yang diduduki adalah satu tindakan yang langsung tidak boleh diterima,” jelas kementerian itu.
“Sebarang keputusan untuk mengilhakkan tanah di Tebing Barat yang diduduki akan dianggap tidak sah dan tidak munasabah dari segi legitimasi, serta menjejaskan usaha antarabangsa untuk mencapai keamanan yang adil dan menyeluruh selaras resolusi Majlis Keselamatan dan penyelesaian dua negara,” tegas kementerian itu.
Kuwait mengulai “pendirian berprinsip dan teguh” dalam menyokong hak rakyat Palestin menubuhkan negara merdeka berdasarkan sempadan 4 Jun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Kuwait juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk menunaikan “tanggungjawab undang-undang, moral dan kemanusiaan” bagi membendung pelanggaran Israel dan melindungi hak rakyat Palestin sambil mempromosi keselamatan dan kestabilan di rantau itu.
Setiausaha Agung GCC Jasem Albudaiwi, berkata keputusan Israel itu merupakan “pelanggaran nyata dan serius terhadap undang-undang antarabangsa serta resolusi legitimasi antarabangsa dan lanjutan polisi penempatan haram, yang memerlukan pendirian antarabangsa yang tegas.”
“Tindakan agresif ini jelas melanggar hak rakyat Palestin, dan merupakan percubaan sistematik untuk merampas tanah mereka,” tambahnya dalam kenyataan.
Ketua GCC itu menyeru masyarakat antarabangsa mengambil “langkah praktikal dan segera untuk menghentikan pelanggaran serius itu serta memaksa pihak berkuasa penjajahan Israel menghentikan polisi penempatan dan keputusan unilateral yang mengancam keselamatan dan kestabilan serantau.”
Beliau menegaskan semula sokongan blok Teluk terhadap “hak sah” rakyat Palestin, terutamanya penubuhan negara merdeka mengikut garis 4 Jun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
GCC terdiri daripada Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Oman.
Pada Ahad, Qatar mengecam keputusan Israel sebagai sebahagian daripada rancangan “haram” Israel untuk merampas hak rakyat Palestin.
Kerajaan Israel pada Ahad meluluskan cadangan yang membolehkan rampasan tanah Palestin di Tebing Barat dengan mendaftarkannya sebagai “harta negara,” menandakan langkah pertama sedemikian sejak Israel menduduki wilayah itu pada 1967.
Menurut Channel 7, langkah itu termasuk membuka prosedur pendaftaran tanah yang sebelum ini dibekukan, membatalkan undang-undang era Jordan yang melarang penjualan tanah, dan mendedahkan rekod tanah yang dirahsiakan selama berdekad-dekad.
Rakyat Palestin melihat langkah itu sebagai prasyarat kepada pengilhakan rasmi Tebing Barat dan sebagai langkah ke arah pengilhakan de facto sebahagian besar wilayah itu, yang menurut mereka menjejaskan rangka penyelesaian dua negara yang disokong oleh PBB.
Dalam pendapat penting pada Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa menyatakan pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin adalah haram dan menggesa pemindahan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
-- BERNAMA-ANADOLU