Skip to main content

Dunia

Tanaman berganda tidak dimanfaatkan, pertanian Myanmar rugi RM32 bilion setahun

FILE PHOTO: Commander-in-Chief of Myanmar's armed forces, Senior General Min Aung Hlaing delivers his speech at the IX Moscow conference on international security in Moscow, Russia June 23, 2021. Alexander Zemlianichenko/Pool via REUTERS/File Photo
Pentadbiran baharu Min Aung Hlaing, yang mula berkuasa pada 10 April, merancang untuk merombak sektor pertanian iaitu tonggak utama ekonominya. - Reuters

PHNOM PENH: Sektor pertanian Myanmar kerugian AS$8 bilion (RM32 bilion) setiap tahun kerana petani tidak memanfaatkan sepenuhnya tanaman berganda di tanah ladang mereka.

Presiden Myanmar Min Aung Hlaing memberitahu komuniti perniagaan pada hujung minggu lepas bahawa kegagalan mencapai matlamat sasaran untuk 10 tanaman utama telah mengakibatkan kerugian besar kepada ekonomi, lapor media kerajaan The Global New Light of Myanmar.

“Jika potensi tanaman berganda sepenuhnya dapat dicapai pada keluasan penanaman sedia ada, negara boleh memperoleh faedah tahunan tambahan kira-kira AS$20 bilion (RM80 bilion),” kata presiden semasa lawatan ke Wilayah Mandalay.

Tanaman berganda ialah amalan menanam dua atau lebih jenis tanaman yang berbeza dalam kawasan yang sama untuk meraih pendapatan tambahan.

Beliau berkata keluaran dalam negara kasar Wilayah Mandalay adalah kira-kira AS$9 bilion (RM36 bilion) setahun, menyumbang kira-kira 10 peratus daripada jumlah keluaran dalam negara kasar negara.

Pentadbiran baharu Min Aung Hlaing, yang mula berkuasa pada 10 April, merancang untuk merombak sektor pertanian, tonggak utama ekonominya, di bawah matlamat 100 hari selepas memegang jawatan.

Kerajaan juga akan memberi tumpuan pada koperasi pertanian dan industri asas tani, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk menggiatkan semula sektor berkenaan.

Selain itu, zon akuakultur moden akan diperluas ke seluruh negara bagi memodenkan zon perikanan dan akuakultur untuk menjana hampir AS$200 juta (RM795 juta) hasil setiap tahun, lapor media kerajaan.

Sektor pertanian Myanmar telah berdepan pelbagai cabaran selama bertahun-tahun, terutamanya selepas rampasan kuasa tentera pada 2021, yang telah menjejaskan prospek pertumbuhan.

Kekurangan teknologi pertanian, kekangan infrastruktur, bekalan elektrik dan bencana alam seperti taufan, banjir dan perubahan iklim terus menyukarkan petani.

Myanmar kekal sebagai pengeksport beras utama dunia dengan kira-kira 2.7 juta tan metrik setiap tahun.

Tanaman utama lain termasuk kekacang, buah-buahan, sayuran dan biji minyak.

-- BERNAMA 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement