Skip to main content

Dunia

Taiwan respons amaran Trump: "Tidak perlu isytihar merdeka, kami negara berdaulat"

President Lai says Taiwan does not need to declare formal independence/ Reuters
Sebelum ini, Presiden Lai Ching-te menyatakan bahawa Taiwan tidak perlu mengisytiharkan kemerdekaan secara rasmi kerana ia sudah menganggap dirinya sebagai sebuah negara berdaulat. - Gambar fail Reuters

TAIPEI: Taiwan menegaskan ia adalah sebuah negara berdaulat dan merdeka susulan amaran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, terhadap sebarang kemungkinan pengisytiharan rasmi kemerdekaan daripada China.

Kenyataan Trump dibuat selepas menghadiri sidang kemuncak dua hari di Beijing, di mana beliau berkata, tidak membuat sebarang komitmen berhubung status pulau yang ditadbir sendiri itu, yang turut dituntut China sebagai sebahagian wilayahnya dan tidak menolak penggunaan kekerasan.

Selepas pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping, Trump turut memaklumkan beliau akan membuat keputusan tidak lama lagi sama ada untuk meluluskan pakej penjualan senjata bernilai AS$11 bilion kepada Taiwan.

Pentadbiran AS terikat dengan undang-undang untuk membantu Taiwan mempertahankan diri, namun pada masa sama perlu memastikan keseimbangan hubungan tersebut dengan hubungan diplomatiknya bersama China.

Sebelum ini, Presiden Taiwan, Lai Ching-te, menyatakan bahawa Taiwan tidak perlu mengisytiharkan kemerdekaan secara rasmi kerana ia sudah menganggap dirinya sebagai sebuah negara berdaulat.

Pada Sabtu, jurucakap Presiden Taiwan, Karen Kuo, berkata, adalah “jelas” bahawa Taiwan merupakan “sebuah negara demokratik yang berdaulat dan merdeka.”

Namun begitu, beliau menegaskan, Taiwan komited untuk mengekalkan status quo dengan China, iaitu tidak mengisytiharkan kemerdekaan secara rasmi dan tidak juga bersatu dengan Beijing.

Sebahagian besar rakyat Taiwan melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada negara yang berasingan, namun kebanyakannya memilih untuk mengekalkan keadaan semasa.

Pendekatan rasmi Washington pula adalah tidak menyokong kemerdekaan Taiwan, dengan hubungan berterusan dengan Beijing bergantung kepada penerimaannya bahawa hanya terdapat satu kerajaan China.

Dalam wawancara bersama Fox News selepas pertemuan dengan Xi, Trump menegaskan, dasar AS terhadap Taiwan tidak berubah, sambil memberi isyarat beliau tidak mahu mencetuskan konflik dengan Beijing.

“Saya tidak mahu ada pihak yang mengisytiharkan kemerdekaan,” katanya.

“Kita sepatutnya pergi sejauh 9,500 batu untuk berperang. Saya tidak mahu itu berlaku. Saya mahu keadaan diredakan. Saya mahu China bertenang.”

Dalam penerbangan pulang ke Washington, beliau memberitahu wartawan bahawa perbincangan denganJinping banyak menyentuh isu Taiwan, namun enggan mengulas sama ada AS akan mempertahankan pulau itu.

Menurut Trump, Presiden Jinping mempunyai pendirian tegas terhadap Taiwan dan tidak mahu melihat sebarang usaha ke arah kemerdekaan.

Beijing sebelum ini lantang mengkritik Presiden Taiwan, malah menyifatkannya sebagai “pencetus masalah” dan “perosak keamanan rentas selat.”

China turut meningkatkan latihan ketenteraan di sekitar pulau itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menambah ketegangan serantau dan menguji keseimbangan diplomatik yang cuba dikekalkan oleh Washington.

Trump berkata, pakej penjualan senjata yang akan diluluskan itu akan dirunding bersama kepimpinan Taiwan.

Beliau turut memberitahu, akan berbincang dengan pemimpin semasa Taiwan berhubung perkara tersebut.

Amerika Syarikat tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan, namun mengekalkan hubungan tidak rasmi yang kukuh. 

Lazimnya, Presiden AS juga tidak berhubung secara langsung dengan pemimpin Taiwan kerana ia berpotensi mencetuskan ketegangan dengan Beijing.

Dalam kenyataan berasingan, jurucakap Presiden Taiwan merakamkan penghargaan terhadap sokongan Trump terhadap keselamatan di Selat Taiwan.

“Taiwan akan terus memperkukuh kerjasama dengan AS bagi mencapai keamanan melalui kekuatan, serta memastikan kestabilan di Selat Taiwan tidak terancam, selaras dengan kepentingan bersama Taiwan, AS dan komuniti demokrasi global,” katanya. - Agensi

Must Watch Video