BANGKOK: Thailand merekodkan 581 kemalangan jalan raya dan 95 kematian dalam tempoh tiga hari pertama (10 hingga 12 April) sepanjang sambutan Songkran, sekali gus menekankan kebimbangan keselamatan jalan raya yang berterusan semasa sambutan tahunan itu.
Timbalan Jurucakap Kerajaan Lalida Persvivatana berkata Kementerian Pelancongan dan Sukan, dengan kerjasama Biro Polis Pelancong serta agensi berkaitan, sedang memantau rapi aspek keselamatan sepanjang tempoh "Seven Dangerous Days" Songkran 2026 bagi meningkatkan keyakinan pelancong domestik dan antarabangsa.
“Seven Dangerous Days” merujuk kepada tempoh kempen keselamatan jalan raya di Thailand semasa perayaan Songkran, ketika kemalangan perjalanan lazimnya meningkat.
Memetik data daripada Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana, beliau berkata seramai 486 orang cedera dalam kemalangan di seluruh negara sepanjang tempoh tiga hari itu.
“Pada 12 April sahaja, pihak berkuasa merekodkan 193 kemalangan yang mengakibatkan 169 kecederaan dan 24 kematian. Secara kumulatif, dari 10 hingga 12 April, terdapat 581 kemalangan dengan 486 kecederaan dan 95 kematian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau menambah tujuh pelancong asing cedera dalam kemalangan berasingan dalam tempoh sama, tanpa sebarang kematian dilaporkan.
Lalida berkata Kementerian Pelancongan dan Sukan terus memperkukuh langkah keselamatan di kawasan tumpuan pelancong selain menyelaras rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan perayaan berjalan lancar.
“Kerajaan menggesa orang ramai dan pelancong supaya memandu secara bertanggungjawab serta mematuhi prinsip ‘jangan minum dan memandu’ bagi memastikan sambutan Songkran tahun ini kekal selamat dan menyeronokkan untuk semua,” katanya.
Pelancong yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pusat Bantuan Pelancong (TAC) di seluruh negara atau talian Polis Pelancong di 1155 yang beroperasi 24 jam.
Kemuncak sambutan Songkran adalah pada 13 hingga 15 April.
-- BERNAMA