BANGKOK: Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) menjangkakan Festival Songkran 2026 akan menjana pendapatan pelancongan lebih 30.35 bilion baht (RM3.74 bilion), mencerminkan permintaan perjalanan yang kukuh semasa tempoh perayaan itu.
Gabenor TAT, Thapanee Kiatphaibool berkata, aktiviti pelancongan di seluruh negara telah melebihi jangkaan di semua wilayah sepanjang tempoh 11 hingga 15 April.
Beliau berkata, unjuran pendapatan itu mewakili peningkatan sebanyak enam peratus berbanding tahun lepas, sekali gus menekankan keyakinan berterusan dalam kalangan pengembara domestik dan antarabangsa, selain mengukuhkan kedudukan Songkran sebagai acara budaya bertaraf dunia.
"Prestasi kukuh Songkran 2026 menyerlahkan daya tarikan global pesona budaya Thailand dan mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta serta komuniti tempatan dalam mengangkat festival ini ke peringkat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman sesawang rasmi TAT pada Selasa.
Sepanjang tempoh berkenaan, Thapanee berkata, ketibaan pelancong antarabangsa diunjurkan sekitar 500,000 pelawat, meningkat empat peratus tahun ke tahun, dengan menjana pendapatan kira-kira 8.1 bilion baht.
Bagi pelancongan domestik, beliau menjangkakan sebanyak 5.96 juta perjalanan akan direkodkan, iaitu peningkatan tujuh peratus, yang menyumbang kira-kira 22.25 bilion baht.
"Secara keseluruhannya, angka-angka ini diunjurkan menjana lebih 30.35 bilion baht dalam pendapatan pelancongan, menandakan peningkatan enam peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas," katanya.
Di Bangkok, kawasan sambutan utama seperti Jalan Silom, Dataran Siam dan Jalan Khao San mencatatkan jumlah kehadiran yang tinggi secara konsisten.
Beliau menambah bahawa acara utama TAT, Festival Air Sedunia Maha Songkran 2026 di Taman Benjakitti, menarik 108,640 pelawat antara 11 dan 13 April, termasuk 56,368 warga tempatan dan 52,272 pelawat antarabangsa, dengan anggaran impak ekonomi sebanyak 283.68 million baht.
"TAT menegaskan bahawa Songkran kekal sebagai pemacu utama ekonomi pelancongan Thailand, menyokong penjanaan pendapatan, pengagihan wilayah dan reputasi global negara bagi pengalaman budaya berkualiti tinggi," katanya.
Walaupun kemuncak sambutan di seluruh negara berakhir pada 15 April, sambutan di destinasi terpilih akan diteruskan melangkaui tempoh rasmi itu, sekali gus membantu mengekalkan momentum perjalanan dan melanjutkan impak keseluruhan festival berkenaan.
Songkran, sambutan Tahun Baharu tradisional Thailand yang diraikan dari 13 hingga 15 April, ditandai dengan perjumpaan keluarga, penghormatan kepada orang tua dan nenek moyang, serta upacara membersihkan patung Buddha.
Festival yang diiktiraf Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu juga merupakan acara utama dalam kalendar pelancongan Thailand, menarik pelawat dari seluruh dunia untuk menyertai sambutan pesta air yang meriah yang mempamerkan kekayaan budaya dan warisan negara itu.
-- BERNAMA