SINGAPURA: Singapura memberi amaran bahawa konflik yang berlarutan di Asia Barat telah meningkatkan risiko keselamatan global, termasuk di peringkat domestik, berikutan ancaman ekstremis dan proses meradikalkan individu menerusi dalam talian yang semakin meningkat.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, K. Shanmugam berkata, penglibatan pelaku negara, proksi dan rangkaian militan telah meningkatkan risiko insiden limpahan melangkaui rantau berkenaan.
“Konflik di Asia Barat ini juga berfungsi sebagai titik rujukan bagi naratif ekstremis.
“Kumpulan pengganas dan sekutu mereka telah mengeksploitasi konflik itu untuk menyebarkan propaganda dalam talian bagi menjustifikasikan keganasan serta menghasut serangan pengganas,” katanya pada Rabu.
Menurut Shanmugam, naratif ekstremis juga meningkatkan risiko individu meradikalkan diri sendiri, terutamanya di ruang siber.
“Sejak peningkatan konflik Israel-Hamas pada Oktober 2023, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) telah menahan atau mengeluarkan perintah sekatan terhadap enam rakyat Singapura di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang mana proses menjadikan mereka radikal dicetuskan atau dipercepat oleh konflik yang sedang berlaku di Asia Barat,” katanya.
-- BERNAMA