KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan Israel ke atas Iran serta tindakan ketenteraan Amerika Syarikat yang mengiringinya telah mengheret Asia Barat ke ambang malapetaka.
Menurut Perdana Menteri, tindakan Israel memulakan serangan itu merupakan satu 'cubaan jijik' untuk mensabotaj rundingan yang sedang berlangsung sehingga menyebabkan negara-negara lain terpalit ke dalam konflik yang mungkin mustahil untuk dibendung.
“Penghentian permusuhan secara serta-merta dan tanpa syarat adalah amat mustahak. Saya menggesa Amerika Syarikat dan Iran untuk mencari jalan penyelesaian diplomatik dan bukannya terus meningkatkan ketegangan. Saya menyeru masyarakat antarabangsa supaya bertindak dengan segera tanpa berat sebelah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Iran serta di kawasan sekitar rantau itu ketika ketegangan terus memuncak.
"Selain itu, kebimbangan saya ketika ini adalah terhadap keselamatan rakyat Malaysia di Iran dan di tempat lain di rantau berkenaan. Saya akan berhubung dengan rakan serantau mengenai langkah seterusnya dalam perkara ini," katanya.