MICHIGAN, AMERIKA SYARIKAT: Amerika Syarikat (AS) pada Khamis digemparkan dengan serangan ganas yang menggegarkan komuniti Yahudi di West Bloomfield, di sini, apabila seorang lelaki bersenjata merempuh masuk sebuah sinagog (rumah ibadah Yahudi) terbesar di negara itu sebelum berlaku tembakan yang memaksa tindakan kecemasan berskala besar.
Insiden yang berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari waktu tempatan itu bermula apabila suspek memandu sebuah kenderaan secara sengaja ke arah pintu masuk sinagog, memecah masuk hingga ke lorong dalam bangunan.
Kenderaan tersebut kemudian terbakar, menyebabkan kepulan asap memenuhi ruang dan memaksa staf serta pengunjung mencari perlindungan secepat mungkin.
Suspek yang bersenjata rifle kemudian bertembung dengan pasukan keselamatan dalaman sinagog, sebelum ditembak mati ketika cuba meneruskan serangan.
Rumah ibadah Israel itu turut menempatkan pusat pendidikan awal kanak-kanak yang ketika kejadian mempunyai kira-kira 140 murid di dalam bangunan.
Kesemua mereka termasuk guru dan kakitangan, bagaimanapun, disahkan selamat hasil tindakan pantas tenaga pengajar dan pasukan keselamatan.
Seorang pengawal keselamatan mengalami kecederaan selepas dirempuh kenderaan suspek, namun berada dalam keadaan stabil dan dijangka pulih.
Serangan itu mencetuskan respons kecemasan besar melibatkan Polis Michigan, FBI dan ATF.
Pihak berkuasa mengarahkan komuniti sekitar untuk berlindung di tempat masing-masing, sementara beberapa sekolah berhampiran turut ditempatkan dalam mod lockdown sebagai langkah keselamatan.
Puluhan kenderaan polis dan anggota taktikal dikerahkan, dengan rakaman udara menunjukkan asap tebal keluar dari bumbung sinagog akibat kebakaran kenderaan.
Identiti suspek belum didedahkan dan motif serangan masih dalam siasatan.
Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan kaitan dengan peningkatan insiden antisemitik serta ketegangan geopolitik yang semakin memuncak kebelakangan ini.
Gabenor Michigan, Gretchen Whitmer menyifatkan insiden itu sebagai tragedi yang menyayat hati menegaskan, komuniti Yahudi berhak menjalani kehidupan beragama tanpa rasa takut.
Sementara itu, komuniti setempat masih terkejut dengan serangan tersebut, terutama para ibu bapa yang bergegas ke rumah ibadah berkenaan untuk mengambil anak mereka selepas bangunan dikosongkan. - Agensi