Skip to main content

Dunia

Sembilan anggota polis dihukum mati di India berhubung kematian tahanan semasa COVID-19

51670921167_TBGANTUNGINDON.jpg
Sembilan anggota polis di India telah dijatuhi hukuman mati berhubung kematian seorang bapa dan anak lelakinya ketika dalam tahanan pada tahun 2020. - Gambar hiasan

TAMIL NADU, INDIA: Sembilan anggota polis di India telah dijatuhi hukuman mati berhubung kematian seorang bapa dan anak lelakinya ketika dalam tahanan pada tahun 2020.

P Jeyaraj, 58, dan anaknya Benicks, 38, kedua-duanya meninggal dunia dalam penjara di negeri Tamil Nadu di selatan India, beberapa hari selepas mereka ditahan atas dakwaan membuka kedai telefon bimbit mereka melanggar peraturan sekatan pergerakan semasa pandemik COVID-19.

Menurut hakim yang menjatuhkan hukuman pada Isnin, kedua-dua mangsa telah ditelanjangkan dan dipukul dengan kejam di hadapan satu sama lain, sambil beliau menyifatkan kes itu sebagai satu penyalahgunaan kuasa yang jelas.

“Mereka melakukan perbuatan itu dengan niat untuk membunuh,” kata hakim berkenaan.

Kesemua anggota polis itu, yang didapati bersalah atas tuduhan membunuh bulan lalu, masih mempunyai hak untuk memfailkan rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan.

“Mereka menyerang individu yang tidak bersenjata. Mereka tidak seharusnya dimaafkan. Mereka tidak wajar diberikan hukuman lebih ringan berdasarkan usia atau latar belakang keluarga. Mereka semua berpendidikan,” kata hakim itu lagi semasa prosiding hukuman.

Secara keseluruhan, sepuluh anggota polis telah ditahan berhubung kematian kejam bapa dan anak tersebut, namun seorang daripada tertuduh meninggal dunia akibat COVID-19 pada tahun 2020.

Kes berkenaan mencetuskan protes di seluruh Tamil Nadu, termasuk penyertaan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang negeri yang turun ke jalanan.

Ketua Pembangkang India, Rahul Gandhi, serta bintang kriket negara itu, Shikhar Dhawan merupakan antara tokoh yang menuntut keadilan untuk kedua-dua mangsa melalui media sosial.

Kematian mereka juga mengembalikan isu kekejaman polis di India ke perhatian umum.

Kumpulan hak asasi manusia menyatakan ratusan individu meninggal dunia setiap tahun ketika berada dalam tahanan di India, sambil menegaskan bahawa penderaan dan penyeksaan untuk mendapatkan pengakuan telah menjadi sebahagian daripada amalan kepolisan di negara itu.

Awal tahun ini, beberapa pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa India melaksanakan pembaharuan besar-besaran bagi memodenkan pasukan polis sejajar dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa. - Agensi

Must Watch Video