KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) berada di landasan yang tepat untuk merealisasikan aspirasinya untuk menjadi kuasa digital menjelang 2030 menerusi strategi PWR 2030, seiring usaha memperkasa kecerdasan buatan (AI) dan kemampanan bagi memacu penciptaan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan.
Dalam satu kenyataan hari ini, bagi mengemaskini maklumat yang dibentangkan pada mesyuarat agung tahunannya baru-baru ini, syarikat telekomunikasi itu berkata ia terus mengukuhkan peranannya sebagai penyelaras ekosistem AI dan digital Malaysia dengan membangunkan infrastruktur, platform serta tadbir urus yang diperlukan bagi menyokong penggunaan AI secara lebih meluas.
Ini termasuk pusat data dikuasakan oleh AI, selain penyelesaian berasaskan AI seperti bandar pintar dan perhutanan bandar pintar untuk perusahaan, kerajaan dan syarikat global berskala besar.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Amar Huzaimi Md Deris berkata untuk memperkukuh cara penciptaan nilai, syarikat meningkatkan keupayaan inovasi AI dan digital sambil menerapkan kemampanan secara lebih mendalam dalam perniagaan, operasi dan pelaburan strategik.
Langkah ini turut memperkukuh keupayaan syarikat untuk menyokong keperluan digital yang semakin berkembang merentas perniagaan, komuniti dan negara, katanya.
Secara dalaman, penggunaan AI oleh TM dipercepat menerusi pusat hubungan AI agentik, pemodenan rangkaian serta program peningkatan kemahiran AI yang tersusun untuk pekerja.
Mengenai kemampanan, TM berkata pihaknya menambah baik rangka kerja kemampan pada 2025 dengan mengguna pakai pendekatan yang mengimbangi sasaran kewangan serta impak alam sekitar dan sosial.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025, kumpulan itu menjana hasil RM135 juta daripada produk dan perkhidmatan rendah karbon termasuk pusat data diperakui hijau dan penyelesaian digital untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana, selain mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 34 peratus berbanding garis asas 2019.
-- BERNAMA