KIGALI (RWANDA): Jumlah kes disyaki Ebola di Republik Demokratik Congo telah melebihi 1,000 di tengah-tengah lonjakan kes di wilayah timur negara itu, menurut laporan situasi yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.
Jumlah kumulatif kes disyaki Ebola kini mencecah 1,077 kes, dengan 121 kes disahkan serta 17 kematian sejak wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei lepas, menurut laporan berkenaan.
Kementerian itu memaklumkan bahawa wabak Ebola telah menjejaskan 13 zon kesihatan di tiga wilayah, termasuk Ituri, Kivu Utara dan Kivu Selatan.
“Operasi pemantauan, saringan dan kesedaran komuniti terus dipergiat walaupun terdapat cabaran operasi yang dilaporkan di lapangan,” menurut kementerian itu.
Pihak berkuasa Congo telah menggantung aktiviti sosial di Ituri, pusat penularan wabak itu, termasuk aktiviti sukan, bagi mencegah penularan Ebola.
Menurut Menteri Kesihatan Awam Roger Kamba, kira-kira 3,600 individu telah dikenal pasti mempunyai kontak dengan pesakit.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC), 10 negara termasuk Rwanda, Kenya, Tanzania, Angola, Burundi, Republik Afrika Tengah, Republik Congo, Ethiopia, Sudan Selatan dan Zambia berisiko menghadapi penularan Ebola.
Sebanyak tujuh kes setakat ini direkodkan di negara jiran, Uganda, sejak wabak semasa bermula.
Uganda pada Rabu mengumumkan penutupan sementara sempadannya dengan Congo bagi mengurangkan risiko penularan penyakit itu ke negara berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU