KUALA LUMPUR: Persepsi dunia Barat kononnya pembunuhan pemimpin tertinggi Iran akan mencetuskan kejatuhan segera kerajaan republik Islam itu merupakan satu salah faham besar oleh Amerika Syarikat dan Israel.
Felo Penyelidik, Asia Middle East Center for Research & Dialogue (AMEC), Dr. Ferooze Ali berkata, cubaan mengubah rejim oleh AS bakal menemui jalan buntu kerana mereka gagal memahami konsep sistem syura yang menjadi teras pemerintahan Iran sejak Revolusi 1979.
"Salah satu pandangan negara Barat adalah Ali Khamenei merupakan seorang kuku besi, justeru mereka beranggapan dengan terbunuhnya Pemimpin Agung itu, rakyat Iran boleh mendapat satu manfaat.
"Namun perkara itu tidak terjadi sehingga kini, sangat mengejutkan bagi Israel dan Amerika Syarikat, bertentangan dengan apa mereka bayangkan," katanya semasa program Agenda AWANI, pada Isnin.
Jelas Ferooze, sistem Republik Islam Iran tidak bergantung sepenuhnya kepada seorang individu, sebaliknya berlandaskan struktur syura dan musyawarah yang berlapis dari peringkat akar umbi hingga nasional.
"Pemerintahan Iran meletakkan kepercayaan kepada sistem syura dan musyawarah, bukan kepada kepimpinan itu sendiri.
"Bagi mereka, pemimpin itu hanya wakil daripada Allah untuk mentadbir negara. Sistem syura atau musyawarah akan menentukan pemimpin baharu selepas pemimpin yang sebelumnya," kata Ferooze.
Struktur tersebut termasuk Majlis Pakar (Assembly of Experts), Majlis Syura Islam serta pelbagai institusi revolusi yang berfungsi secara kolektif
Menurut Ferooze, ini sesuatu sukar difahami pemerhati luar yang melihat Iran melalui lensa politik Barat.
Meskipun wujud kelompok rakyat Iran yang mahukan reformasi ekonomi dan keterbukaan politik, mereka tidak semestinya menyokong campur tangan asing.
Usaha kuasa Barat membina naratif bahawa seluruh rakyat Iran menyokong pertukaran rejim merupakan simplifikasi melampau terhadap dinamika dalaman negara itu.