RUSIA meraikan Hari Kemenangan ke-81 dalam suasana dibayangi Operasi Ketenteraan Khas atau Special Military Operation (SMO) yang masih berlangsung, serta ancaman serangan dari Ukraine. Perarakan tahunan itu memperingati kejayaan Kesatuan Soviet menewaskan Jerman Nazi dalam Perang Patriotik (Perang Dunia Kedua). Ia bukan sekadar sambutan kemenangan ketenteraan, tetapi juga menjadi peringatan mengenai kelangsungan hidup, pengorbanan, dan harapan untuk membina kehidupan selepas perang.
Sambutan ulang tahun ke-80 pada tahun lalu lebih besar dan lebih simbolik, dengan kehadiran pemimpin asing dari termasuk China, Korea Utara, Malaysia, Indonesia dan lain-lain. Sambutan tahun ini pula lebih sederhana, berikutan risiko keselamatan.
Namun, erti sambutan Hari Kemenangan kekal signifikan tahun ini, khususnya bagi mereka yang masih hidup di bawah ancaman serangan ketenteraan. Bagi mereka, persoalan sebenar bukan lagi sekadar mengingati berakhirnya perang besar yang lalu. Persoalannya adalah bilakah perang yang sedang berlaku ini akan berakhir, dan bilakah kehidupan boleh benar-benar bermula semula.
Hujah politik: Perang sebagai pembebasan dan perjuangan anti-kolonial
Bagi penulis Rusia dan nasionalis, Zakhar Prilepin, konflik yang sedang berlangsung ketika ini berakar sejak 2014. Beliau berhujah bahawa apa yang berlaku di Ukraine bukanlah satu kejayaan demokrasi, tetapi permulaan kepada perubahan politik yang lebih gelap.
“Masalahnya, pada 2014, mereka masih boleh menipu diri sendiri, menipu manusia sejagat, dan mengatakan bahawa kebebasan telah menang di Ukraine, bahawa kuasa liberal telah menang. Tetapi Ukraine, tanpa ragu, adalah sebuah diktator dengan tahap fasisme yang sangat tinggi,” katanya.
Tambahnya, kuasa nasionalis Ukraine secara terbuka mengambil inspirasi daripada tradisi Nazi dan sayap kanan radikal.
“Mereka secara langsung merujuk kepada Hitler, kepada Nazisme, dan kepada segala bentuk amalan sayap kanan radikal yang kanibalistik dari abad ke-20.”
“Perarakan obor besar-besaran diadakan di Kyiv oleh mereka yang dihiasi swastika. Banyak unit Ukraine, bukan hanya Azov, secara terbuka mengisytiharkan bahawa mereka adalah unit Nazi,” dakwanya.
Zakhar Prilepin, yang terselamat daripada cubaan bunuh menggunakan bom kereta di Rusia pada Mei 2023, ialah seorang penulis nasionalis terkemuka dan penyokong kempen ketenteraan Moscow di Ukraine. - foto Astro AWANI
Bagi Prilepin, pemahaman ini penting untuk memahami rasional tindakan ketenteraan Rusia; bukan sebagai penaklukan, tetapi sebagai pembebasan, khususnya bagi penduduk di Donbass, Crimea, Luhansk, Zaporizhzhia dan wilayah lain yang kini dianggap Moscow sebagai sebahagian daripada Rusia.
Prilepin juga menggambarkan penerimaan Crimea sebagai sebahagian daripada Rusia menjadi titik tolak yang bukan sahaja meletakkan Persekutuan itu sebagai pencabar Barat, bahkan turut mencabar elit pro-Baratnya sendiri. Menurut beliau, Presiden Vladimir Putin mengumpulkan kira-kira dua puluh tokoh nasional paling berpengaruh di Rusia pada 2014 dan berkata Crimea perlu kembali kerana kebanyakan rakyat Crimea tidak mahu hidup dalam “Ukraine baharu.”
Prilepin berkata semua orang di meja itu membantah.
“Dan semua dua puluh orang itu, seorang demi seorang, berkata bahawa kita tidak boleh; kita tidak boleh dari segi ekonomi, kita tidak boleh dari segi keupayaan ketenteraan, kita tidak boleh kerana dunia tidak akan memahami kita,” katanya.
Kemudian, menurut Prilepin, Putin tetap membuat keputusan itu.
“Putin mendengar semua orang dan berkata: baik, saya faham. Kita ambil Crimea.”
Prilepin mengaplikasikan logik yang sama kepada SMO yang dilancarkan tahun 2022. Bagi beliau, SMO adalah kesinambungan daripada seruan orang ramai yang mahu meninggalkan Ukraine dan kembali kepada Rusia, tanah air mereka.
Beliau juga berhujah bahawa sokongan Eropah terhadap Ukraine bukan hanya soal nilai atau keselamatan, tetapi kepentingan material.
“Kerana Eropah, jika ia tidak mendapat akses kepada sumber asli Rusia, akan menjadi jauh lebih miskin pada abad ke-21,” katanya.
Namun dalam pandangan Prilepin, ekonomi sahaja tidak cukup untuk menjelaskan perang ini. Beliau melihat ideologi turut berperanan. Rasa dendam sejarah terhadap Rusia dan kemenangan Soviet ke atas Nazisme.
“Mengapa semua orang kononnya mempunyai logik kewangan, tetapi ada yang membantu Ukraine, manakala yang lain membantu Rusia?” soalnya.
Kesimpulannya lebih tajam daripada sekadar membela SMO yang sedang berjalan. Ia juga satu amaran kepada Moscow: jika Rusia mahu memimpin blok anti-Barat yang lebih luas, ia tidak boleh bergantung hanya kepada ketahanan ketenteraan, sumber asli atau geopolitik. Ia mesti mengembalikan semula bahasa solidariti.
Hujah itu turut bergema, dalam bentuk yang lebih peribadi, melalui beberapa bekas anggota tentera Ukraine yang berkata mereka telah berpindah ke pihak Rusia.
Wartawan Astro AWANI, Irfan Faruqi, tiga dari kiri, bergambar bersama penulis Rusia, Zakhar Prilepin dan peserta lawatan media dari Türkiye, China, Jepun, Ecuador, Nicaragua, Congo dan Ethiopia. - foto Dobrovolcy Cultury/Sidorov Petr Alexeevich
Pandangan anggota tentera beralih ke pihak Rusia
Anggota pasukan Martyn Pushkar; sebuah unit yang diwujudkan Rusia pada 2025 melibatkan tentera Ukraine yang beralih pihak, Alexander Vladimirovich Babiyanko berkata beliau dikerah untuk sertai Angkatan Tentera Ukraine pada Disember 2024. Beliau menggambarkan keputusannya untuk beralih ke pihak Rusia sebagai sesuatu yang bersifat politik dan peribadi.
“Saya membuat keputusan ini kerana saya tidak bersetuju dengan apa yang sedang berlaku di Ukraine dan ke mana arahnya. Malangnya, saya tidak melihat jalan keluar lain kecuali berada di pihak satu lagi (Rusia),” kata Babiyanko.
Bagi seorang lagi anggota unit yang sama, Arlov Alexander Nikolaevich, yang menggunakan nama panggilan tentera “Orel”, pula merujuk kepada kemusnahan rumah ibunya.
“Inilah yang mereka lakukan terhadap rumah kami, apa yang mereka lakukan terhadap seluruh Ukraine. Mereka memusnahkan segala-galanya. Bagi mereka, tiada apa yang suci (boleh dipertahankan),” kata Arlov.
Manakala bagi Bolbot Pavel Sergeevich, dengan nama panggilan tentera “Shuka”, berkata tindakan menyerah diri kepada tentera Rusia adalah sesuatu yang disengajakan.
“Saya gembira ditawan oleh Rusia. Jika saya mempunyai peluang yang sama jika kembali ke masa lalu, saya akan lakukan perkara yang sama dan pergi ke sana (Rusia),” katanya.
Beliau menambah bahawa masa depannya akan kekal bersama Rusia.
“Apabila perang tamat, saya akan kekal di sini dan berkhidmat untuk Rusia. Itu keputusan saya,” kata Bolbot.
Kenyataan-kenyataan ini dibuat dalam persekitaran perang, di mana pengalaman peribadi, politik dan propaganda sering bertindih. Namun, ia mendedahkan satu naratif utama Rusia: bahawa perang ini bukan sekadar Rusia menentang Ukraine, tetapi satu perjuangan yang turut melibatkan rakyat Ukraine yang menolak kepimpinan Kyiv hari ini dan melihat Rusia sebagai masa depan mereka.
Anggota pasukan Martyn Pushkar, dari kiri, Alexander Vladimirovich Babiyanko, Arlov Alexander Nikolaevich, dan Bolbot Pavel Sergeevich. - foto Dobrovolcy Cultury/Sidorov Petr Alexeevich
Persoalan orang awam: Apakah makna Hari Kemenangan tanpa keamanan?
Bagi orang awam, persoalannya lebih mudah.
Hari Kemenangan mungkin tidak secara khusus meraikan wilayah baharu Rusia. Namun di Donetsk, Mariupol dan Crimea, mesejnya mudah difahami: rakyat mahu perang berakhir, rumah dibina semula, dan kehidupan kembali normal.
Di Donetsk dan Mariupol, kehidupan jelas kembali aktif. Menurut Oleg Sidorov, ahli pertubuhan bukan berasaskan keuntungan Dobrovolcy Cultury, atau Cultural Volunteers, kira-kira 900,000 penduduk telah kembali ke Donetsk daripada populasi sebelum konflik sekitar satu juta orang. Pembinaan semula sedang berjalan, khususnya perumahan awam yang dibina sejak 2023 dan kini sudah diduduki.
Kompleks perumahan awam di Donetsk itu dibina untuk penduduk yang kehilangan rumah akibat serangan ketenteraan. Ia merupakan kawasan sama yang dilawati Presiden Rusia Vladimir Putin semasa lawatan mengejut beliau pada 2023. - foto Astro AWANI
Namun perang masih mengehadkan banyak potensi ekonomi. Perkara itu diakui oleh Ketua Republik Crimea, Sergey Aksyonov, ketika ditanya mengenai hubungan antarabangsa, pelancongan dan pembangunan ekonomi.
“Sebenarnya, sehingga operasi ketenteraan khas berakhir, mungkin sukar untuk membayangkan sebarang cadangan dari segi pembangunan hubungan antarabangsa,” kata Aksyonov.
Beliau menyatakan bahawa kerjasama masih boleh diusahakan dengan sekutu rapat Rusia, termasuk China dan negara-negara rakan lain. Namun bagi banyak negara, khususnya negara yang kerajaannya menyokong Amerika Syarikat dan Ukraine, keadaan kekal rumit.
“Dengan negara-negara lain, ia agak bermasalah,” katanya.
Itulah percanggahan yang dihadapi Crimea dan wilayah baharu. Moscow menggambarkan wilayah-wilayah itu sebagai telah pulang ke tanah air.
Namun perang dan sekatan masih mengehadkan keupayaan mereka untuk membina hubungan antarabangsa yang normal, menarik pelaburan, mengembangkan pelancongan dan mengejar pembangunan.
Hari Kemenangan mengingati berakhirnya sebuah perang yang menghancurkan dan bermulanya kehidupan baharu.
Tetapi pada 2026, satu soalan harus berani ditanyakan.
Ketika Rusia meraikan ulang tahun ke-81 kemenangan dalam Perang Patriotik Agung, bilakah harinya bagi rakyat Rusia dapat meraikan berakhirnya konflik ini dengan jirannya?
Bilakah Hari Kemenangan akan berhenti menjadi hanya memori 1945, dan kembali menjadi satu janji: bahawa selepas perang, kehidupan boleh bermula?
Penafian:
Artikel ini berdasarkan pemerhatian dan temu bual yang dikumpulkan semasa lawatan media ke wilayah baharu Persekutuan Rusia dan kawasan yang berkaitan dengan Operasi Ketenteraan Khas (SMO). Lawatan itu dianjurkan oleh Dobrovolcy Cultury / Cultural Volunteers, dengan sokongan kerajaan Rusia dan organisasi berkaitan, termasuk Jabatan Maklumat dan Akhbar Kementerian Luar Negeri Persekutuan Rusia, Kementerian Pertahanan Persekutuan Rusia, Rossotrudnichestvo, Yayasan Zakhar Prilepin, dan Naib Speaker Duma Negara A. M. Babakov.
Artikel ini dihasilkan secara bebas. Tiada penganjur, wakil kerajaan, tokoh politik, atau institusi berkaitan mempunyai kawalan editorial terhadap kandungan, kerangka atau kesimpulannya.