SEOUL: Pasukan pendakwa khas pada Jumaat memohon hukuman penjara tujuh setengah tahun terhadap bekas wanita pertama Kim Keon Hee dalam perbicaraan rasuah melibatkan dakwaan menerima hadiah mewah bersama permintaan pelantikan jawatan kerajaan dan bantuan lain, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pasukan pendakwa khas diketuai Min Joong-ki membuat syor hukuman terhadap Kim, isteri bekas Presiden Yoon Suk Yeol, pada prosiding akhir perbicaraan di Mahkamah Daerah Pusat Seoul atas tuduhan melanggar undang-undang berkaitan penerimaan rasuah bagi tujuan pengantaraan.
Kim didakwa menerima barang kemas bernilai lebih 100 juta won (AS$66,700), termasuk rantai leher Van Cleef & Arpels daripada pengerusi sebuah syarikat pembinaan antara Mac hingga Mei 2022, bersama permintaan jawatan kerajaan untuk menantunya.
Beliau juga didakwa menerima hiasan kura-kura emas daripada Lee Bae-yong bekas ketua Suruhanjaya Pendidikan Kebangsaan, pada April tahun itu sebagai balasan bagi pelantikannya ke jawatan berkenaan.
Selain itu, Kim disyaki menerima jam tangan Vacheron Constantin daripada seorang usahawan pada September 2022 dan lukisan karya artis terkenal Lee Ufan daripada bekas pendakwa raya pada Februari 2023.
Pasukan Min turut menuduh Kim menerima beg tangan Dior bernilai 5.4 juta won daripada seorang paderi pada 2022, yang mencetuskan kontroversi selepas didedahkan media pada tahun berikutnya.
“Tertuduh, sebagai individu yang mempunyai pengaruh dekat dengan kepimpinan negara, menggunakan pengaruh itu untuk urusan berkepentingan peribadi,” menurut pasukan itu.
Bulan lalu, mahkamah rayuan menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap Kim dalam satu lagi perbicaraan berasingan atas pertuduhan rasuah.
-- BERNAMA-YONHAP