Skip to main content

Malaysia

Onn Hafiz kecam tindakan pengintipan digital, telefon disasar 'mercenary spyware'

81728617859_OnnHafizGhazi.jpg
Onn Hafiz berkata, insiden itu melibatkan keselamatan data, kerahsiaan komunikasi, hak peribadi individu dan cubaan pencerobohan terhadap ruang peribadi seseorang. - Gambar fail

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk pengintipan, pencerobohan digital dan penyalahgunaan teknologi yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas menerima notifikasi amaran daripada syarikat teknologi Apple berhubung cubaan serangan perisian pengintip atau mercenary spyware terhadap telefon pintar yang dikaitkan dengan akaun peribadinya.

Onn Hafiz menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata beliau memandang serius insiden berkenaan kerana ia melibatkan keselamatan data, kerahsiaan komunikasi, hak peribadi individu dan cubaan pencerobohan terhadap ruang peribadi seseorang.

“Saya akan membuat laporan polis dan mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya siasatan menyeluruh dapat dijalankan serta tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang,” katanya hari ini.

Dalam hantaran itu, beliau berkongsi tangkap layar memaparkan amaran daripada pihak Apple yang memaklumkan mengenai cubaan serangan pengintipan digital terhadap peranti pintar milik beliau.

Onn Hafiz pada masa sama mendoakan agar semua pihak dilindungi daripada sebarang pencerobohan siber yang boleh mengancam keselamatan dan hak peribadi individu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement