Skip to main content

Dunia

Rizab beras Indonesia cecah rekod 4.5 juta tan, lebihi kapasiti penyimpanan

41735575911_beras.jpg
Andi Amran berkata simpanan stok semasa telah melebihi kapasiti gudang sebanyak tiga juta tan, dengan tambahan ruang penyimpanan sebanyak dua juta tan disewa dan lebih banyak lagi dijangka diperoleh. - Gambar hiasan

JAKARTA: Rizab beras Indonesia melonjak ke paras rekod 4.5 juta tan, melebihi kapasiti penyimpanan ketika kerajaan meningkatkan pengeluaran domestik meskipun berdepan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Menurut Agensi Berita ANTARA, Menteri Pertanian Andi Amran Sulaiman berkata simpanan stok berkenaan yang diuruskan oleh agensi logistik milik negara Bulog adalah yang tertinggi sejak kemerdekaan, sekali gus menjamin keselamatan makanan negara kekal utuh.

Beliau berkata simpanan stok semasa telah melebihi kapasiti gudang sebanyak tiga juta tan, dengan tambahan ruang penyimpanan sebanyak dua juta tan disewa dan lebih banyak lagi dijangka diperoleh.

“Gudang kami sudah penuh, dengan kapasiti hanya tiga juta tan. Kami kini menyewa ruang gudang sebanyak dua juta tan.

“Kami akan menyewa lebih banyak lagi pada masa hadapan. Ada kemungkinan dalam tempoh 10 hingga 20 hari akan datang, stok itu akan mencecah lima juta tan,” katanya semasa lawatan ke gudang Bulog di Makassar, Sulawesi Selatan, pada Ahad.

Andi Amran berkata lonjakan itu mencerminkan kesan dasar kerajaan yang bertujuan meningkatkan pengeluaran beras domestik dalam tempoh singkat, sebagai menyokong usaha Indonesia mencapai mampu diri bagi makanan ruji itu.

Beliau berkata pencapaian itu didorong oleh langkah seperti menaikkan harga belian kerajaan bagi padi kepada Rp6,500 sekilogram, mengurangkan harga baja bersubsidi sebanyak 20 peratus serta mempercepat penggunaan amalan pertanian moden.

“Kini, selaras dengan hala tuju Presiden Prabowo (Subianto), program keutamaan utama Presiden telah terbukti mampu meningkatkan pengeluaran beras dalam masa yang singkat, iaitu hanya dalam tempoh satu tahun,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video