LONDON: Ratusan remaja di United Kingdom (UK) akan menyertai satu projek perintis untuk menguji larangan penggunaan media sosial, ketika menteri mempertimbangkan langkah bagi melindungi kanak-kanak dalam talian, lapor PA Media/dpa.
Projek perintis selama enam minggu yang dikendalikan oleh Jabatan Sains, Inovasi dan Teknologi (DSIT) akan melibatkan 300 golongan muda berusia antara 13 hingga 17 tahun dari seluruh UK untuk menguji pelbagai sekatan media sosial bagi menilai kesannya terhadap kerja sekolah, tidur dan kehidupan keluarga.
Langkah ini dibuat ketika rundingan kerajaan mengenai kemungkinan larangan media sosial ala Australia dijangka berakhir pada 26 Mei.
Remaja yang mengambil bahagian bersama ibu bapa mereka akan dibahagikan kepada empat kumpulan. Satu kumpulan ibu bapa akan ditunjukkan cara menggunakan kawalan ibu bapa untuk membuang atau mengehadkan akses kepada aplikasi media sosial tertentu, bagi meniru kesan larangan media sosial.
Satu lagi kumpulan akan dikenakan had penggunaan sejam sehari bagi aplikasi media sosial popular seperti TikTok, Snapchat dan Instagram.
Kumpulan ketiga pula akan melihat ibu bapa menyekat akses media sosial anak mereka antara 9 malam hingga 7 pagi, dengan penggunaan terhad sebelum dan selepas waktu sekolah, manakala kumpulan terakhir akan mengekalkan tahap akses sedia ada sebagai perbandingan.
Keluarga yang terlibat akan ditemu bual pada awal dan akhir tempoh ujian untuk menilai kesan larangan atau sekatan itu serta cabaran yang dihadapi dalam melaksanakannya.
Hasil daripada projek perintis ini akan membantu kerajaan dalam membuat keputusan mengenai dasar untuk meningkatkan cara kanak-kanak berinteraksi dengan media sosial.
Setiausaha teknologi, Liz Kendall berkata: “Kami bertekad untuk memastikan golongan muda menikmati zaman kanak-kanak yang sepatutnya serta bersedia untuk masa depan.
“Oleh itu, kami mendapatkan pandangan ibu bapa, kanak-kanak dan pakar, sambil menguji pelbagai pilihan dalam situasi sebenar. Projek perintis ini akan menghasilkan bukti yang diperlukan untuk menentukan langkah seterusnya, berdasarkan pengalaman keluarga.”
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa