WASHINGTON: Bantahan besar-besaran di bawah gerakan “No Kings” berlangsung di bandar-bandar utama di seluruh Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu, menandakan penganjuran kali ketiga himpunan yang sebelum ini menarik jutaan peserta.
Penganjur berkata protes itu menyasarkan dasar Presiden Donald Trump, termasuk perang di Iran, penguatkuasaan imigresen persekutuan dan peningkatan kos sara hidup.
Mereka menuduh Trump bertindak seperti “pemerintah zalim” dan menegaskan kuasa harus berada di tangan rakyat, bukan elit politik dan korporat.
Demonstrasi diadakan hampir di semua bandar besar termasuk New York, Washington DC dan Los Angeles.
Di Washington, ribuan penunjuk perasaan memenuhi National Mall dan kawasan sekitar Memorial Lincoln, sambil membawa patung dan peragaan mengecam Trump serta pemimpin pentadbirannya.
Himpunan besar turut berlangsung di Minnesota, sementara ribuan lagi berkumpul di Times Square, New York, menyebabkan pihak polis menutup beberapa jalan utama.
White House memperkecilkan bantahan itu, menyifatkannya sebagai “sesi terapi obsesif anti-Trump”.
Walaupun beberapa negeri mengerahkan Pasukan Pengawal Nasional, penganjur menegaskan protes berjalan secara aman.
Sejak kembali berkuasa pada Januari tahun lepas, Trump telah memperluas penggunaan kuasa eksekutif, mencetuskan kebimbangan pengkritik yang menganggap langkah tersebut mengancam demokrasi AS.