RAMALLAH: Presiden Palestin pada Jumaat mengecam Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir dan layanan tentera pendudukan terhadap aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang diculik ke Gaza.
Presidensi menegaskan, memintas kapal flotila itu di perairan antarabangsa bukan sahaja merupakan tindakan yang menyalahi undang-undang, tetapi juga merupakan tindakan lanun maritim, selain pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, lapor agensi berita Palestin.
Tindakan itu ialah pelanggaran terang-terangan terhadap kebebasan pelayaran dan usaha kemanusiaan dan perpaduan antarabangsa, tambahnya.
Ia juga mengutuk penghinaan, penderaan dan cacian yang dikenakan ke atas mangsa culik, termasuk memaksa sesetengah pihak mendengar lagu kebangsaan Israel, dalam apa yang digelarnya sebagai pencabulan jelas terhadap semua nilai kemanusiaan dan norma antarabangsa.
Presidensi merujuk pada kenyataan menghasut dan bongkak Ben Gvir mengenai penahanan aktivis dan gesaan supaya mereka dipenjarakan untuk tempoh paling lama, menyatakan hal itu mencerminkan mentaliti perkauman dan ekstremis yang mengawal dasar kerajaan pendudukan dan desakan untuk meneruskan pencabulan terhadap rakyat Palestin serta semua yang menyatakan solidariti dengan mereka.
Presidensi memuji keberanian para aktivis yang mengambil bahagian dalam GSF, menyifatkan mereka sebagai mewakili hati nurani kemanusiaan yang bebas, dan memuji pendirian kemanusiaan dan moral mereka yang mulia.
Ia menyeru masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan semua negara untuk memikul tanggungjawab undang-undang dan kemanusiaan mereka terhadap rakyat Palestin, menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza, dan berusaha untuk menghentikan serangan Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin, tanah dan tapak suci mereka.
Ia turut menggesa kemerdekaan negara Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya direalisasikan.
-- BERNAMA