YAOUNDE: Pope Leo mengkritik pemimpin dunia yang membelanjakan berbilion dolar untuk peperangan, sambil berkata dunia sedang “dimusnahkan oleh segelintir pemerintah zalim”, dalam kenyataan tegas semasa lawatan ke Cameroon.
Ketua Gereja Katolik itu turut mengecam pihak yang memanipulasi “nama Tuhan” demi kepentingan sendiri, ketika berucap di sebuah wilayah yang terkesan akibat pemberontakan bersenjata.
Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas pertelingkahan terbuka dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang menyerang Pope secara terbuka di media sosial susulan kritikan pontiff terhadap operasi ketenteraan AS–Israel di Iran.
Pope Leo berkata beliau tidak mahu berdebat dengan Trump tetapi akan terus menyuarakan seruan keamanan.
Di Cameroon, beliau mengkritik pemimpin yang “menutup mata terhadap hakikat bahawa wang besar digunakan untuk membunuh dan memusnahkan, sedangkan dana bagi pemulihan dan pendidikan tidak mencukupi”.
Beliau juga mengecam kitaran keganasan berpanjangan di wilayah barat laut Cameroon, yang dilanda konflik pemisah sejak hampir sedekad lalu, mengorbankan ribuan nyawa dan memaksa ramai meninggalkan kediaman mereka.
“Keamanan bukan sesuatu yang perlu dicipta, tetapi sesuatu yang mesti diterima dengan menganggap sesama manusia sebagai saudara,” katanya.
Lawatan Pope Leo ke Afrika merangkumi 11 bandar di empat negara, mencerminkan kepentingan benua itu yang kini menempatkan lebih 288 juta penganut Katolik, atau lebih satu perlima daripada jumlah global.