Skip to main content

Dunia

PM Anwar akhiri lawatan ke Jakarta, bincang isu geopolitik bersama Prabowo

Mengakhiri kunjungan singkat ke Republik Indonesia.  Dalam mendepani ketidaktentuan global saat ini, kesepakatan Malaysia dan Indonesia menjadi semakin penting, dengan kedua-dua negara sepakat untuk terus berganding bahu, memperkukuh kerjasama strategik serta memperhebat ikhtiar diplomasi demi memastikan kestabilan serantau dan kesejahteraan rakyat. Semoga silaturahmi antara dua negara serumpun ini terus diperteguh ke tahap yang lebih utuh dan wibawa, Insya-Allah.
Seusai perbincangan, Prabowo mengiringi Anwar secara peribadi ke Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma sebagai tanda hubungan erat dan muhibah antara kedua-dua pemimpin. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan lawatan khas ke Jakarta hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Istana Merdeka, di sini.

Pertemuan yang bermula pada jam 4.30 petang waktu tempatan itu berlangsung dalam suasana perkembangan geopolitik yang semakin meruncing di Asia Barat.

Seusai perbincangan, Prabowo mengiringi Anwar secara peribadi ke Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma sebagai tanda hubungan erat dan muhibah antara kedua-dua pemimpin.

Anwar berlepas pulang ke tanah air kira-kira jam 7.15 malam waktu tempatan, sekali gus menamatkan lawatan kerja sehari beliau.

Lawatan itu diadakan atas jemputan Prabowo susulan perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin pada 23 Mac lepas, selain menjadi kunjungan pertama Anwar ke Jakarta tahun ini.

Ia turut menyusul lima siri pertemuan peringkat tinggi antara kedua-dua pemimpin tahun lalu, termasuk Konsultasi Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13 yang berlangsung pada 28 Julai di Jakarta.

Sebagai hasil utama pertemuan itu, Anwar dalam satu kenyataan memaklumkan Malaysia dan Indonesia bersetuju mempergiat usaha diplomatik bagi meredakan konflik di Asia Barat, melindungi nyawa orang awam serta membuka ruang rundingan ke arah penyelesaian aman dan berkekalan.

Dalam suasana ketidaktentuan global yang semakin meningkat, kedua-dua negara turut menegaskan kepentingan memperkukuh kesepaduan serantau berteraskan prinsip bagi mengekalkan keamanan, menjamin kestabilan serta meningkatkan daya tahan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Dalam pertemuan hampir dua jam itu, kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan memastikan kelangsungan rantaian bekalan global serta laluan perdagangan strategik, termasuk Selat Hormuz, tidak terjejas.

-- BERNAMA

Must Watch Video