BANGKOK: Pesta Songkran yang merupakan perayaan Tahun Baharu tradisional Thailand serta cuti umum paling penting di negara itu bermula pada Isnin dengan acara meriah "perang air", ketika suhu dijangka mencecah 40 darjah Celsius, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Antara 13 hingga 15 April, jalan-jalan di sekitar Bangkok dijangka menjadi tumpuan orang ramai untuk berpesta air.
Orang ramai saling menyembur air menggunakan pistol air berwarna-warni yang telah mula dijual sejak beberapa hari lepas. Di ibu kota, jalan-jalan terkenal seperti Jalan Silom dan kawasan tumpuan pelancong beg galas, Jalan Khaosan, berubah menjadi zon pesta yang meriah.
Kebanyakan peserta basah kuyup dari kepala hingga ke kaki dalam tempoh beberapa minit sahaja, sambil diiringi muzik parti yang kuat daripada pembesar suara.
Jabatan perkhidmatan cuaca meramalkan suhu lebih tinggi sehingga 42 darjah Celsius di beberapa bahagian negara itu dalam tempoh beberapa hari akan datang, selain kelembapan yang sangat tinggi.
Pihak berkuasa memberi amaran tentang risiko kesihatan dan menegaskan bahayanya berada di bawah sinaran matahari untuk tempoh yang lama tanpa perlindungan. Pentadbiran bandar raya memaklumkan akan mengerahkan pelbagai pasukan kecemasan sebagai langkah berjaga-jaga dan menyediakan bekalan air minuman yang mencukupi untuk peserta.
Ramai pelancong sering berkunjung ke Thailand untuk menyertai keraian itu, namun industri pelancongan sebelum ini memberi amaran tentang penurunan mendadak dalam tempahan hotel berikutan harga tiket penerbangan yang tinggi akibat konflik Iran.
Bagi kebanyakan rakyat Thailand, sambutan Songkran kali ini juga lebih membebankan susulan kenaikan harga petrol. Kebanyakan warga kota mengambil cuti seminggu sempena perayaan itu untuk pulang ke kampung halaman bagi menziarahi keluarga mereka.
-- BERNAMA-dpa