CHICAGO: Sebuah pesawat United Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas seorang penumpang dilapor cuba menceroboh kokpit ketika penerbangan ke Minneapolis, Amerika Syarikat (AS), malam semalam.
Insiden melibatkan pesawat Boeing 737 Penerbangan UA2005 yang berlepas dari Chicago sebelum dilencongkan ke Madison, Wisconsin, lapor The Mirror.
Juruterbang mengisytiharkan amaran keselamatan kira-kira 20 minit selepas berlepas susulan tindakan agresif penumpang terbabit.
Pesawat itu turut menggunakan kod kecemasan “squawk 7500”, iaitu isyarat antarabangsa bagi ancaman rampasan, sebelum mendarat dengan selamat.
Menurut laporan media antarabangsa, suspek yang merupakan warganegara Rusia bertindak agresif dan cuba menghampiri pintu kokpit. Bagaimanapun, individu berkenaan berjaya ditahan anak kapal dengan bantuan penumpang lain.
Sejurus pesawat mendarat, anggota penguat kuasa persekutuan menahan suspek untuk siasatan lanjut. Pihak berkuasa mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan penumpang atau anak kapal.
Siasatan awal mendapati pintu kokpit yang diperkukuhkan berjaya menghalang sebarang cubaan pencerobohan.