LIMA: Peru melanjutkan keadaan darurat selama 60 hari di 41 daerah di 11 wilayah untuk terus bertindak balas terhadap kerosakan akibat hujan lebat baru-baru ini, menurut kepresidenan pada Jumaat, lapor Xinhua.
Pelanjutan itu, yang diluluskan oleh dekri tertinggi dan diterbitkan dalam warta rasmi El Peruano, akan berkuat kuasa pada 1 Jun.
Daerah yang terjejas terletak di wilayah Ancash, Apurimac, Arequipa, Ayacucho, Cajamarca, Cusco, Huancavelica, Huanuco, Junin, Lima dan Pasco.
Menurut Institut Pertahanan Awam Negara, tugas yang belum selesai termasuk membersihkan sungai dan lurah dan menyediakan tempat perlindungan sementara untuk penduduk terjejas.
Kerja-kerja menyelamat, pembersihan dan perlindungan akan dibiayai menerusi belanjawan institusi terbabit, tanpa memerlukan dana tambahan daripada perbendaharaan awam, menurut dekri itu.
Peru kerap mengalami kejadian hujan lebat, banjir dan tanah runtuh secara tiba-tiba dan dahsyat yang dikaitkan dengan fenomena El Nino.
-- BERNAMA-XINHUA