PARIS: Permintaan minyak global kini dijangka menurun sebanyak 80,000 tong sehari (80 kb/d) secara purata pada 2026, berbanding jangkaan sebelumnya iaitu pertumbuhan sebanyak 730 kb/d, susulan konflik Iran yang menjejaskan prospek global, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada Selasa.
Menurut Laporan Pasaran Minyak terkini IEA, permintaan minyak dijangka merosot sebanyak 1.5 juta tong sehari (1.5 mb/d) pada suku kedua 2026, menandakan kejatuhan paling ketara sejak COVID-19 menjejaskan penggunaan bahan api.
Apabila kekurangan bekalan dan harga tinggi berterusan, kemerosotan permintaan dijangka semakin meluas.
Bekalan minyak global merosot sebanyak 10.1 mb/d kepada 97 mb/d pada Mac, menurut laporan itu, sambil menjelaskan serangan berterusan ke atas infrastruktur tenaga di Asia Barat serta sekatan terhadap pergerakan kapal tangki melalui Selat Hormuz menyebabkan gangguan terbesar dalam sejarah.
Kadar pemprosesan minyak mentah global terus terjejas akibat gangguan bekalan bahan mentah dan kerosakan infrastruktur, yang mengetatkan pasaran produk global, menurut agensi itu, dengan unjuran kadar pemprosesan global akan menurun sebanyak 1 mb/d secara purata pada 2026 kepada 82.9 mb/d.
Inventori minyak global yang direkodkan merosot sebanyak 85 juta tong pada Mac, dengan stok di luar Teluk Asia Barat susut sebanyak 205 juta tong apabila aliran melalui Selat Hormuz terhenti.
Harga minyak mencatatkan kenaikan bulanan terbesar pernah direkodkan pada Mac susulan kejutan bekalan paling teruk dalam sejarah, menurut laporan itu.
IEA menyatakan bahawa gencatan senjata selama dua minggu antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) memberikan sedikit kelegaan kepada pasaran minyak global, namun masih belum jelas sama ada ia akan membawa kepada keamanan berkekalan dan pemulihan aliran perkapalan biasa melalui Selat Hormuz.
Menyambung semula aliran melalui Selat Hormuz kekal sebagai faktor paling penting dalam mengurangkan tekanan terhadap bekalan tenaga, harga dan ekonomi global, menurut IEA.
Selepas Presiden AS Donald Trump mengancam pada Ahad untuk menyekat kapal yang cuba memasuki atau keluar dari selat it, Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) berkata pasukan AS akan mula melaksanakan sekatan terhadap “semua trafik maritim yang masuk dan keluar dari pelabuhan Iran” pada Isnin 10 pagi waktu Timur (1400 GMT).
-- BERNAMA-XINHUA