Skip to main content

Dunia

AS perkukuh aset ketenteraan, rundingan dengan Iran tetap diteruskan

U.S. military preparing for potentially weeks-long Iran operations_REUTERS
Imej kumpulan serangan kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln berlayar serta melakukan formasi udara didedahkan pada Ahad ketika AS bersiap sedia menghadapi kemungkinan operasi ketenteraan berpanjangan terhadap Iran. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Imej kumpulan serangan kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln berlayar serta melakukan formasi udara didedahkan pada Ahad ketika Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia menghadapi kemungkinan operasi ketenteraan berpanjangan terhadap Iran.

Dua pegawai AS yang kedua-duanya enggan dikenali kerana sensitiviti perancangan tersebut memberitahu Reuters, persediaan itu dibuat ketika usaha diplomatik antara Washington dan Tehran sedang berlangsung.

Rundingan antara kedua-dua negara dijadual diadakan di Geneva pada Selasa, diwakili utusan AS Steve Witkoff dan Jared Kushner dengan Oman bertindak sebagai perantara.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio pada Sabtu berkata walaupun Presiden Donald Trump lebih mengutamakan penyelesaian diplomatik, beliau mengakui bahawa mencapai persetujuan dengan Tehran adalah “amat sukar”.

Sementara itu, Trump terus mengukuhkan kehadiran ketenteraan di Asia Barat, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan tindakan ketenteraan baharu.

Pada Jumaat, pegawai AS mengesahkan sebuah lagi kapal pengangkut pesawat dihantar ke rantau itu bersama ribuan anggota tambahan, jet pejuang, pemusnah berpeluru berpandu serta aset pertahanan sokongan.

Trump sebelum ini sering menyuarakan keraguan mengenai penghantaran tentera darat ke Iran. Setakat ini, tumpuan keupayaan ketenteraan AS di rantau berkenaan menunjukkan pilihan operasi yang lebih bergantung kepada serangan udara dan aset laut.

Pada masa sama, dalam operasi di Venezuela bulan lalu, Trump turut menunjukkan kesediaan menggunakan pasukan operasi khas untuk melaksanakan misi taktikal berprofil tinggi.

 

 

Must Watch Video