Skip to main content

Dunia

Perang ‘tidak bertanggungjawab’ Trump punca kelembapan ekonomi, kata menteri Jerman

[1/4]Co-leader of the Social Democratic party (SPD) Lars Klingbeil looks on during a press conference with Germany's chancellor-in-waiting and leader of the Christian Democratic Union party (CDU) Friedrich Merz, Christian Social Union (CSU) leader and Bavarian Premier Markus Soeder, after reaching an... Purchase Licensing Rights
Klingbeil berkata, tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) di rantau tersebut telah mencetuskan “kejutan tenaga global” yang memberi kesan langsung kepada ekonomi dunia, termasuk Jerman. - Gambar Reuters

BERLIN: Menteri Kewangan Jerman menyalahkan apa yang disifatkannya sebagai “perang tidak bertanggungjawab Donald Trump di Iran” sebagai punca utama kejatuhan ketara dalam jangkaan hasil cukai negara itu.

Lars Klingbeil berkata, tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) di rantau tersebut telah mencetuskan “kejutan tenaga global” yang memberi kesan langsung kepada ekonomi dunia, termasuk Jerman.

Menurut pegawai Jerman, unjuran hasil cukai bagi tempoh 2026 hingga 2030 telah dipotong hampir 70 bilion euro (AS$82 bilion). 

Penurunan itu, kata Klingbeil, dalam satu kenyataan di Berlin, “jelas menunjukkan sejauh mana perang di Iran sedang menjejaskan ekonomi kami.”

Bulan lalu, Canselor Jerman, Friedrich Merz menimbulkan kemarahan Trump apabila menyifatkan White House sebagai telah “dihina” oleh perunding Iran - kenyataan yang mendorong Presiden AS itu mengancam untuk menarik balik ribuan anggota tentera AS dari pangkalan di Jerman.

Sejak memegang jawatan setahun lalu, Merz kerap memberi bayangan bahawa dasar-dasar Trump telah mengubah hubungan rapat tradisional antara AS dan Eropah.

Pada Februari lalu, misalnya, Merz berkata, “jurang yang mendalam telah terbuka antara Eropah dan Amerika Syarikat.” 

Namun begitu, beliau tetap mengadakan dua lawatan ke White House dalam tempoh setahun sebagai usaha meredakan ketegangan hubungan transatlantik.

Seiring negara-negara Eropah lain, Jerman turut mengkritik perang yang dilancarkan AS dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari, yang telah mencetuskan kebimbangan serius mengenai kemelesetan ekonomi global.

Kerajaan campuran Jerman juga berdepan kesukaran untuk merangsang ekonomi negara itu yang telah bertahun-tahun berada dalam keadaan lembap, dengan kos tenaga yang tinggi serta permintaan eksport yang lemah menjadi antara faktor utama.

Bulan lalu, Merz memberitahu para pelajar bahawa “jelas pihak Amerika tidak mempunyai strategi”, dan beliau tidak melihat “jalan keluar strategik” yang bakal dipilih.

“Iran ternyata sangat mahir dalam rundingan, atau lebih tepat, mahir untuk tidak berunding, membiarkan pihak Amerika datang ke Islamabad dan pulang tanpa sebarang hasil,” katanya.

Beliau turut mendakwa, keseluruhan negara telah “dihina” oleh kepimpinan Iran.

Trump membalas kenyataan tersebut keesokan harinya menerusi platform Truth Social, dengan mendakwa Merz berpendapat adalah “tidak mengapa Iran memiliki senjata nuklear” dan “tidak tahu apa yang diperkatakannya.”

“Tidak hairanlah Jerman berada dalam keadaan begitu teruk, dari segi ekonomi dan juga aspek lain!” tulis Trump.

Malah, Trump kemudiannya mencadangkan agar Merz menumpukan lebih perhatian kepada “membaiki negaranya yang rosak, khususnya isu imigresen dan tenaga,” dan kurang mencampuri urusan pihak yang berusaha menyingkirkan ancaman nuklear Iran.

Awal bulan ini, hanya beberapa hari selepas kenyataan awal Merz, Jabatan Pertahanan AS mengumumkan rancangan untuk menarik balik 5,000 anggota tentera dari Jerman - langkah yang dikaitkan dengan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth.

Menteri Pertahanan Jerman berkata, keputusan Pentagon itu “boleh dijangka.”

Penempatan tentera AS di Jerman merupakan yang terbesar di Eropah, dengan sekitar 12,000 anggota ditempatkan di Itali dan kira-kira 10,000 lagi di United Kingdom.

Trump juga dikenali sebagai pengkritik lama pakatan NATO dan sebelum ini mengecam sekutu kerana tidak menyokong rancangannya untuk membuka semula laluan perkapalan strategik di Selat Hormuz, yang kini ditutup secara berkesan oleh Iran.

Kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia dan gas asli cecair (LNG) lazimnya melalui selat tersebut, dan konflik berkenaan telah menyebabkan harga bahan api global melonjak.

Kini, pihak-pihak bertelagah dilaporkan mematuhi satu gencatan senjata yang dijangka membuka laluan kepada perjanjian penamatan perang.

Pada Rabu, Trump berkata, perang itu akan “berakhir dengan cepat.” Iran pula memaklumkan bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan satu cadangan AS untuk menamatkan konflik tersebut.

Namun, rundingan dilaporkan masih buntu selepas AS mengenakan sekatan ke atas pelabuhan-pelabuhan Iran, selain berusaha membuka semula Selat Hormuz bagi membolehkan hampir 2,000 kapal yang terperangkap di Teluk sejak Februari lalu melalui laluan itu dengan selamat. - Agensi

Must Watch Video