Skip to main content

Dunia

Perancis ulangi bantahan tegas terhadap serangan ke atas infrastruktur di Iran

FILE PHOTO: French Minister for Europe and Foreign Affairs Jean-Noel Barrot speaks during a press conference with Iraqi Foreign Minister Fuad Hussein (not pictured) as they meet in Baghdad, Iraq, February 5, 2026. REUTERS/Ahmed Saad/File Photo
Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot beri amaran bahawa serangan sedemikian boleh membuka "fasa baharu peningkatan balas dendam". - Reuters

ISTANBUL: Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot pada Selasa mengulangi bantahan Perancis terhadap sebarang serangan ke atas infrastruktur awam dan tenaga di Iran, susulan ancaman Amerika Syarikat (AS), memberi amaran tentang konflik tanpa kesudahan (vicious cycle), lapor Anadolu Ajansi, memetik penyiar tempatan.

"Kami terus menentang serangan terhadap infrastruktur awam dan tenaga, pertama kerana ia dilarang di bawah peraturan perang dan undang-undang antarabangsa," kata Barrot kepada penyiar France Info.

Beliau memberi amaran bahawa serangan sedemikian boleh membuka "fasa baharu peningkatan balas dendam", mengheret rantau itu dan ekonomi global ke dalam konflik tanpa kesudahan yang membimbangkan.

"Untuk kepentingan kita sendiri, kita sudah melihat lonjakan harga bahan api. Jika infrastruktur tenaga di Iran menjadi sasaran, kita boleh menjangkakan tindakan balas daripada rejim Iran, memburukkan lagi keadaan yang sudah membimbangkan," kata Barrot.

Beliau mengulangi kedudukan Perancis dan Eropah, berkata mereka mengelak terlibat dalam peperangan yang tidak mereka inginkan sambil berusaha mengehadkan kesannya dan menyokong usaha pengantaraan yang diketuai oleh negara-negara di rantau ini.

"Dari hari pertama, kami tidak menyokong campur tangan Israel-AS, yang tidak mempunyai objektif yang cukup jelas dan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa," tambah Barrot.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video