Skip to main content

Dunia

Pemimpin ASEAN perlu bersatu kecam tindakan agresif di Asia barat - SDSN

61756626632_JeffreySachs.jpg
Jeffrey D. Sachs menggesa negara-negara bertindak secara kolektif berbanding bersendirian, menegaskan tiada satu negara pun mampu menentang penceroboh secara sendiri. - Gambar fail/csd.columbia.edu

PUTRAJAYA: Pemimpin ASEAN digesa bersatu dan mengecam sebarang tindakan agresif di Asia Barat, kerana operasi ketenteraan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran berisiko menggugat kestabilan dunia serta mencetuskan krisis ekonomi global.

Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDSN) Profesor Jeffrey D. Sachs menggesa negara-negara bertindak secara kolektif berbanding bersendirian, menegaskan tiada satu negara pun mampu menentang penceroboh secara sendiri.

“Adalah penting bagi negara-negara bersatu, dan bagi semua pemimpin ASEAN untuk berkata, ‘Ini menyakiti kita, ini menyakiti dunia, ini perlu dihentikan.’ Ia hanya boleh berhenti apabila pihak penceroboh, iaitu Israel dan Amerika Syarikat, menghentikan tindakan agresif mereka.

“Tiada satu negara mahu menyuarakan perkara ini sendirian, tetapi jika kumpulan yang mewakili 700 juta rakyat bersuara bersama, ia amat berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ilmuwan Malaysia MADANI bertajuk ‘Strategi untuk Malaysia dan ASEAN dalam Era Ketidakstabilan Global’, di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir turut hadir pada forum berkenaan.

Profesor Sachs berkata, blok global seperti BRICS (Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan) mewakili ratusan juta rakyat yang bersatu, dan suara mereka juga boleh memberi tekanan kepada Israel dan Amerika Syarikat supaya menghentikan operasi ketenteraan.

“Saya percaya perang ini akan berhenti apabila negara-negara penting dunia bersatu dan bercakap dengan jelas bahawa tindakan Israel dan Amerika Syarikat menyalahi undang-undang serta membahayakan seluruh dunia.

“Kita belum melihat perkara ini berlaku kerana negara-negara yang berpihak kepada Amerika Syarikat takut untuk berkata benar,” katanya.

Sachs menekankan pemimpin seperti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bercakap dengan jelas, jujur, beretika dan praktikal, sambil menggesa pemimpin dunia memegang pihak penceroboh bertanggungjawab.

“Beliau (Anwar) bercakap dengan jelas, jujur, beretika dan praktikal – benar-benar tepat.

“Kita perlukan pemimpin lain di dunia melakukan perkara sama kerana jika dunia berkata kepada Amerika Syarikat dan Israel, ‘Hentikan kekejaman ini,’ mereka terpaksa menghentikannya,” katanya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Sachs berkata negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Iran perlu bersatu dengan cepat dan jelas menentang campur tangan ketenteraan asing.

“Kita tidak akan melihat berakhirnya perang ini sehingga negara-negara Teluk juga berkata, ‘Perang ini perlu dihentikan dan Israel perlu pulang,’” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video