LILLE: Seorang pemandu kereta api berkelajuan tinggi (TGV) maut manakala dua penumpang cedera parah selepas tren berkenaan merempuh sebuah trak yang membawa peralatan tentera di utara Perancis, hari ini.
Nahas itu dilaporkan berlaku kira-kira 7 pagi waktu tempatan di lintasan rata antara Béthune dan Lens, dalam wilayah Pas-de-Calais.
Difahamkan, tren TGV yang membawa 243 penumpang itu sedang dalam perjalanan dari Dunkirk menuju ke Paris ketika kemalangan berlaku di kawasan Bully-les-Mines.
Menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan, selain dua mangsa yang berada dalam keadaan kritikal, 11 individu lain mengalami kecederaan ringan.
Jumlah kecederaan itu lebih rendah daripada laporan awal yang menyebut seramai 27 orang cedera, sebelum angka berkenaan dikemas kini selepas penilaian lanjut di lokasi kejadian.
Seorang jurucakap wilayah mengesahkan bahawa trak yang terlibat sedang mengangkut kenderaan atau peralatan tentera, manakala pemandu lori terbabit kini ditahan polis bagi membantu siasatan.
Susulan kejadian itu, Menteri Pengangkutan Perancis, Philippe Tabarot, bersama Ketua Pegawai Eksekutif SNCF, Jean Castex, dilaporkan ke lokasi bagi meninjau situasi serta operasi tindak balas kecemasan.
Operator kereta api kebangsaan SNCF memaklumkan bahawa semua perkhidmatan rel antara Béthune dan Lens digantung sekurang-kurangnya sehingga lewat hari ini bagi membolehkan kerja pembersihan dan pemeriksaan struktur dijalankan.
Imej dari lokasi kejadian menunjukkan bahagian hadapan tren TGV mengalami kerosakan teruk dan sebahagiannya terkeluar dari landasan akibat impak perlanggaran yang kuat.
Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa Perancis.