MEXICO CITY: Seorang wanita warga Kanada maut manakala enam lagi cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di kawasan piramid Teotihuacan, tapak pelancongan dan arkeologi terkenal berhampiran ibu negara Mexico, menurut pihak berkuasa tempatan.
Suspek kemudiannya ditemui mati akibat tembakan sendiri pada Isnin, kata pegawai kerajaan negeri.
Kerajaan Negeri Mexico memaklumkan bahawa empat mangsa cedera akibat tembakan, manakala dua lagi mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri.
Gabenor Negeri Mexico, Delfina Gómez Álvarez, berkata bantuan sedang diberikan kepada semua mangsa dan kehadiran pasukan keselamatan negeri akan dikekalkan di kawasan itu.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, pula berkata beliau memantau rapat perkembangan kejadian dan kerajaan persekutuan sedang berhubung dengan Kedutaan Kanada.
Sheinbaum turut mengarahkan Kabinet Keselamatan menjalankan siasatan menyeluruh dan menyediakan semua bantuan yang diperlukan, dengan pegawai daripada kementerian berkaitan digerakkan ke lokasi kejadian.
Teotihuacan, sebuah bandar pra-Hispanik, merupakan antara pusat kebudayaan terpenting di Mesoamerika dan sering dikunjungi pelancong tempatan serta antarabangsa.
Insiden ini berlaku kurang dua bulan sebelum Piala Dunia FIFA bermula, yang akan dianjurkan bersama oleh Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada, sekali gus mencetuskan semula kebimbangan terhadap isu keselamatan di negara itu susulan keganasan yang melonjak awal tahun ini.